Oleh: AMIRAH AUNI BINTI ALIMAR SHIDI
“Biarpun pelbagai keperitan ujian yang menimpa, namun ia semakin mendekatkan diri saya dengan ALLAH,” luah seorang isteri kepada suami yang sakit OKU mental sejak 5 tahun lalu.
Kisah Arina Manidi dari Tumpat, Kelantan menjadi pemanggil Soul Fitness Clinic menyentuh hati pendengar dan pasukan produksi program. Ibu kepada empat anak ini menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga selepas suaminya tidak mampu bekerja kerana masalah kesihatan.
Anak sulung juga merupakan OKU dan mengalami masalah pembelajaran. Bagi menampung kehidupan keluarga, Arina berniaga sabun basuh baju. Selain itu, beliau menerima bantuan daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat dan NGO setempat bagi mengurangkan beban.
Untuk menambah pendapatan, Arina berniaga Ikan Bekok atau ikan kering secara dalam talian dan menghantar terus ke rumah pelanggan. Beliau ingin melebarkan sayap perniagaan Ikan Bekok jika ada rezeki.
“Walaupun kehidupan saya tidak semewah orang lain, syukur ke hadrat Ilahi kerana jualan Ikan Bekok masih mendapat sambutan pelanggan dari negeri Selangor, Pahang dan Perak.
“Anak-anak menjadi sumber kekuatan. Walaupun amat berat beban ditanggung, namun kehidupan saya lebih tenang melazimi solat tahajud dan bacaan al-Quran. Saya juga mengamalkan zikir Nabi Yunus AS.
Sesiapa ingin membeli Ikan Bekok, sila hubungi 014-2982096 atau melawat halaman Facebook Arina Manidi. Untuk membantu Arina, boleh salurkan sumbangan ke Bank Simpanan Nasional 0300841000135755.
SUAMI ISTERI GIIGIH BEKERJA DEMI KELANGSUNGAN HIDUP
Ibu kepada dua anak dari Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan berasa terkesan akibat pandemik Covid-19. Rosziana Mansor berniaga pakaian bundle secara kecil-kecilan untuk membantu suami menyara hidup keluarga.
Pemanggil Soul Fitness Clinic Episod 10 ini mengakui sumber pendapatan terjejas sejak musim PKP. Pelbagai usaha yang dilakukan untuk memajukan perniagaannya termasuk menjual secara dalam talian pada musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Jika ada rezeki, beliau berhasrat untuk mengembangkan perniagaannya.
Mereka yang kini menetap di rumah felda peninggalan arwah ibu bapanya meneruskan kerja di kampung. Suami Rosziana mengerjakan kebun kelapa sawit, kebun durian dan ambil upah mesin rumput.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada Rosziana, boleh menyumbang terus ke akaun Bank Islam 05030020338100.

AMBIL TINDAKAN PANTAS UNTUK CARI REZEKI
Peniaga pakaian terpakai, Sulaiha Agus Hudi dari Segambut mengambil langkah pantas untuk berniaga apabila suaminya berhenti kerja di kilang apabila pandemik Covid-19 mula melanda.
Beliau yang merupakan pemanggil Soul Fitness Clinic mempunyai tiga anak yang berusia antara 1 hingga 7 tahun. Hampir sebulan beliau sekeluarga kehilangan sumber pendapatan.
“Jika kita rasa sedih dan susah, ingatlah ALLAH. Usahakan untuk bersedekah, insya-ALLAH rezeki tidak putus. Kini suami bekerja di sebuah pasar raya.
“Saya cuba mencari pendapatan sendiri melalui jualan pakaian bundle secara dalam talian dan LIVE di Facebook. Hasil jualan tersebut dapatlah saya untuk membeli keperluan anak seperti susu dan lampin pakai buang selain modal untuk berniaga.
“Syukur walaupun hidup tidak mewah tapi cukup untuk menampung keperluan keluarga dan terus berniaga. Saya juga menjual pakaian dengan harga lebih murah dengan niat untuk bersedekah.”
Sesiapa yang ingin memberi sumbangan kepada Sulaiha, boleh salurkan ke akaun bank Hong Leong 40100081431.