JABATAN Agama Islam Negeri Selangor (JAIS) menyambut baik Projek Wakaf al-Quran untuk anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF). Usaha tersebut dapat membantu golongan yang ini berwakaf dan pada masa sama, membantu mereka yang memerlukan.
Timbalan Pengarah (Operasi) JAIS, Ustazah Salwana Ahmad Dahlan berkata, pihak JAIS menerima sejumlah 270 set dan 1,000 naskhah al-Quran wakaf yang disampaikan oleh Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Dato’ Hussamuddin Yaacub di pejabat WUIF, Shah Alam, September 202.0
“Pihak JAIS mengagihkan al-Quran wakaf tersebut kepada pusat-pusat jagaan di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) seperti Pusat Jagaan Warga Emas, Muallaf, Pusat Pemulihan Wanita dan Pusat Perlindungan.
“Selain daripada itu, Al-Quran ini turut diagihkan ke 9 Pejabat Agama Islam Daerah dan sekolah-sekolah terpilih di bawah kelolaan JAIS.
“Saya ingin menyarankan semua pihak yang menerima al-Quran wakaf ini untuk sentiasa memanfaatkannya dan mengadakan program berkaitan al-Quran agar ia sentiasa dibaca, difahami, dihayati dan pengajarannya dapat diamalkan.
“Contohnya, penerima Al-Quran wakaf ini boleh membaca sekurang-kurangnya satu muka surat sehari dan memanfaatkan isi kandungan Al-Quran dalam kehidupan seharian. Insya-ALLAH, pahala kepada para pewakaf akan sentiasa mengalir.

Beliau turut menyarankan pihak penganjur Program Wakaf al-Quran untuk Ummah untuk memberi tumpuan kepada pelajar sekolah kerana ia boleh menjadi sebahagian alat bantu mengajar.
Ini bersesuaian dengan sekolah-sekolah rendah agama di bawah kelolaan JAIS yang menjadikan aktiviti Tilawah Al-Quran sebagai salah satu subjek yang dipelajari sejak mereka di tahun 1 lagi.
“Program wakaf al-Quran ini sangat baik dan wajar diteruskan kerana ia dapat menunjukkan rasa kecintaan kita pada al-Quran. Para pembaca al-Quran hendaklah sentiasa memelihara adab ketika memegang dan membaca al-Quran seperti berwuduk terlebih dahulu dan membaca secara tartil.

“Mereka yang berhajat mewakafkan al-Quran yang sedia ada di rumah masing-masing boleh memberinya kepada keluarga yang memerlukan.
“Saya berharap, semua pihak yang terlibat dalam program wakaf al-Quran sentiasa diberikan kelapangan dan rezeki yang melimpah untuk melaksanakan wakaf al-Quran pada masa akan datang.”
Sementera itu, kata beliau, mereka yang menerima sumbangan wakaf tersebut wajar memanfaatkan al-Quran yang diberi kerana ia mempunyai terjemahan dan tafsiran yang boleh dibaca bersama-sama ahli keluarga dan rakan-rakan.

“Jadikan al-Quran sebagai teman hidup yang rapat dengan kita agar hidup kita sentiasa terpandu dengan ajaran Islam. Kepada penganjur program seumpama ini, saya doakan agar kita bersama mendapat keberkatan dalam kehidupan.
“Pada masa ini, kita telah mengadakan sudut dan ruang membaca Al-Quran (Quran Corner) kepada kakitangan di Unit Korporat JAIS. Pada sudut ini telah ditempatkan sebuah kerusi agar pembacanya dapat membaca al-Quran dengan selesa,” katanya.