USTAZ MOHD FAUZI MUSTAFFA
Pengurusan harta merupakan satu topik penting di dalam al-Quran dan Sunnah. Perbahasan tentang harta dan cara menguruskannya di dalam kitab-kitab fikah ini mula kelihatan ketara seawal perbincangan berkenaan rukun Islam yang ketiga iaitu zakat.
Merujuk kepada ketelitian ajaran Islam berkenaan dengan harta, ia meliputi setiap tahap dan proses iaitu peringkat (i) mencari harta, (ii) memiliki harta dan juga (iii) menyahmilikan harta. Secara mudahnya Islam menitikberatkan konsep halal dalam perolehan dan perbelanjaan harta dan konsep infaq fi sabilillah pemilikan harta.
Ini digambarkan dengan jelas oleh Rasulullah SAW melalui sebuah hadis yang bermaksud: “Tetaplah tidak berganjak kaki anak Adam pada hari kiamat nanti sehingga ditanyakan berkenaan umurnya bagaimana dihabiskan, berkenaan ilmunya apakah dia amalkan, berkenaan hartanya bagaimana dia perolehi dan ke mana dia belanjakan dan berkenaan tubuhnya bagaimanakah dia gunakan.” (Riwayat Tarmizi)

Hakikat harta
Harta adalah milik ALLAH secara mutlak. Apa yang ada di tangan manusia hanyalah pinjaman untuk digunakan pada jalan ALLAH sahaja. ALLAH berfirman yang bermaksud “Dan berikanlah kepada mereka (fakir miskin) sebahagian daripada harta ALLAH yang telah dikurniakannya kepada kamu”. (Surah An-Nur, 24:55)
ALLAH berfirman yang bermaksud: “Janganlah sesekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta yang ALLAH berikan kepada mereka daripada kurniaan-Nya menyangka bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Sebenarnya kebakhilan itu adalah keburukan bagi mereka.” (Surah Ali-Imran, 3: 180)
Harta adalah anugerah ALLAH kepada manusia. ALLAH yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menempatkan kamu semua di muka bumi dan Kami adakan bagimu di muka bumi itu (sumber) kehidupan. Tetapi sangat sedikit di antara kamu yang bersyukur.” (Surah Al-A’raf , 7:10)
Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam. Kami angkut mereka di daratan dan di lautan dan Kami beri mereka rezeki daripada yang baik-baik.” (Surah Al-Isra’, 17:70)
Firman ALLAH yang bermaksud; “ALLAH-lah yang menjadikan bumi bagi kamu sebagai tempat menetap dan langit sebagai bumbung. Dan Dia membentuk kamu lalu memperelokkan rupamu serta memberi kamu rezeki dengan sebahagian yang baik-baik. Itulah ALLAH Tuhanmu, Maha Agung ALLAH, Tuhan semesta alam.” (Surah Ghafir, 40: 64)
Firman ALLAH yang bermaksud: “Dan tidak ada satu pun makhluk yang melata melainkan ALLAH-lah yang memberi rezeki kepadanya.” (Surah Hud, 11:6)
Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya ALLAH-lah yang memberi rezeki, yang Maha memiliki kekuatan dan Maha Perkasa.” (Surah Az-Zaariyat, 51: 58)
Firman ALLAH yang bermaksud: “Maka berjalanlah di seluruh penjuru (bumi), dan makanlah sebahagian daripada rezeki-Nya.” (Surah Al-Mulk, 67: 15)
Firman ALLAH yang bermaksud: “Apabila telah ditunaikan sembahyang maka bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah kurniaan ALLAH.” (Surah Al-Jumuah, 62: 10)
Dalam harta ada hak insan lain
ALLAH berfirman yang bermaksud: “Dan di dalam harta-harta mereka (orang-orang kaya) terdapat hak orang-orang miskin yang meminta-minta dan orang miskin yang tidak mendapat bahagian mereka (tetapi enggan meminta-minta).” (Surah Az-Zaariyat, 51: 58)
ALLAH berfirman yang bermaksud: “Dan orang-orang yang (kaya) di dalam hartanya terdapat bahagian tertentu bagi orang (miskin) yang meminta-meminta dan orang yang tidak mempunyai apa-apa (tetapi tidak mahu meminta-minta).” (Surah Al-Ma’aarij, 70: 25-25)
ALLAH berfirman yang bermaksud: “Dan belanjakanlah sebahagian daripada hartamu yang ALLAH telah jadikan kamu menguasainya.” (Surah Al-Hadid, 57:7)
Sikap manusia terhadap harta
ALLAH berfirman yang bermaksud: “Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia kecintaan kepada benda-benda yang disukai oleh nafsu iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta benda yang banyak berpikul-pikul; daripada jenis emas dan perak, kuda peliharaan yang hebat lagi terlatih, dan binatang ternakan serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu adalah kesenangan hidup di dunia dan (ingatlah) bahawa ALLAh telah menyediakan tempat yang sebaik-baiknya untuk kembali (iaitu syurga).” (Surah Ali ‘Imran, 3: 14)
ALLAH berfirman yang bermaksud: “Dan adalah manusia itu bersifat kedekut.” (Surah Al-Isra’, 17:100)
ALLAH berfirma yang bermaksud: “Dan sesungguhnya dia (manusia) sangat menyayangi harta.” (Surah Al-’Adiyaat, 100:8)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jauhilah oleh kebakhilan. Kerana umat sebelum kamu telah binasa disebabkan kebakhilan.” (Riwayat Ahmad)
Mukmin berharta
Prof Dr Yusuf AL-Qaradawi pernah menulis antaranya: “Seseorang mukmin memiliki hartanya, bukan hartanya yang memilikinya. Dia menguasai dunia, bukan dunia yang menguasainya. Dia mengumpulkan harta di tangannya, tetapi sinar kemilau hartanya tidak bermastautin di dalam hatinya. Baginya harta hanyalah cara dan jalan, bukannya matlamat dan tujuan. Tujuan hidupnya adalah beribadah kepad ALLAH. Harta di tangannya hanyalah pembantu kepadanya untuk mencapai tujuan di atas.”
Islam menggalakkan keuntungan
Islam menggalakkan umatnya mencari keuntungan dalam kegiatan ekonomi mereka. Mencari kerugian dan meninggalkan keuntungan adalah bertentangan sama sekali dengan doktrin Islam. Namun kejayaan (al-Falah ) dan keuntungan dalam Islam bukanlah berasaskan keuntungan dan pengumpulan kekayaan semata-mata tetapi ditakrifkan sebagai keredaan ALLAH iaitu dengan memperhambakan keuntungan yang dimiliki kepada jalan-jalan ALLAH.
Ketika berusia 25 tahun, Rasulullah SAW menerima tawaran daripada Khadijah binti Khuwailid Al-Asadiyyah, seorang saudagar yang memiliki kemuliaan dan harta. Perniagaan yang ditawarkan akan diperniagakan secara mudharabah dan keuntungannya dibahagikan antara mereka. Dalam perjalanan untuk berniaga di Syam, Rasulullah SAW ditemani Maisarah, seorang pekerja Khadijah. Kedua-duanya telah menjalankan perniagaan dengan jujur dan amanah dan mendapat keuntungan yang besar. Apabila pulang ke Makkah dan Khadijah mendapati perniagaannya mendapat keuntungan yang besar lantas dia tertarik dengan RAsulullah SAW. Dan akhirnya Rasulullah SAW dikahwinkan dengan Khadijah.
Begitu juga denga sahabat-sahabat Rasulullah SAW yang lain yang merupakan ahli perniagaan yang berjaya seperti Abdul Rahman bin Auf, Othman bin Affan dan ramai lagi yang memperlihatkan keuntungan yang dicapai dalam perniagaan namun keuntungan itu dikongsi bersama dengan jalan-jalan Infaq fi Sabilillah.
Ali bin Abi Talib pernah berkata: “Adalah menjadi hak peniaga utnuk memperolehi keuntungan atas usaha mereka menyediakan barangan yang berguna kepada masyarakat.”
Sejarah mencatatkan bahawa sehingga ke tahun ke sembilan hijrah, orang-orang musyrikin Arab masih lagi berkunjung ke Masjidil Haram di Makkah untuk melaksanakan ibadat haji. Haji dikerjakan oleh mereka itu banyak dicemari oleh amalan-amalan jahiliyyah seperti tawaf mengelilingi Kaabah dalam keadaan bertelanjang. Pada tahun ke sepuluh hijrah, mereka telah dilarang oleh Rasulullah SAW untuk menunaikan ibadat haji dalam keadaan bertelanjang.
Larangan terhadap puluhan ribu orang musyrikin daripada menunaikan ibadat haji dalam keadaan bertelanjang sememangnya merupakan satu kerugian ekonomi yang besar kepada umat Islam ketika itu. Tetapi mereka harus bersabar menanggung risiko itu demi kesempurnaan iman mereka.
ALLAH berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya orang -orang musyrikin itu najis. Maka janganlah mereka mendekati Masjidil Haram selepas tahun ini. Dan jika kamu bimbang menjadi miskin (akibat ketidakhadiran mereka pada tahun depan) maka ALLAH akan memberikan kekayaaan kepada daripad kurnian-Nya jika Dia mengkehendakinya. Sesungguhnya ALLAh Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana,” (Surah At-Taubah, 9: 28)
Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sumpah yang diucapkan untuk melariskan perniagaan akan menggagalkan keuntungan.” (Riwayat Muslim)
Konsep Infaq
Infaq bermaksud membelanjakan harta untuk melaksanakan erintah ALLAH. Konsep infaq fi sabilillah dalam pengurusan harta merupakan satu bidang yang amat luas dan mempunyai impak yang besar dalam pembentukan dan pembinaan sosioekonomi ummah. Terdapat puluhan ayat al-Quran yang menyentuh tentang kepentinga, gesaan dan kelebihan infaq fi sabilillah. Ayat yang berupa perintah mengenai amalan berinfaq ini ialah:
Firman ALLAH yang bermaksud: “Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama ALLAH, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan (dengan bersikap bakhir) dan berbuat baiklah kerana sesungguhnya ALLAH mengasihi orang-orang yang berbuat kebaikan.” (Surah Al-Baqarah, 2: 195)
Firman ALLAH yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, belanjakanlah sebahagian daripada apa yang telah Kami berikan kepad kamu sebelum tibanya hari (kiamat) yang tidak ada lagi jual beli ketika itu dan tida ada kawan (yang memberi manfaat), serta tiada pula pertolongan syafaat; dan orang-orang kafir itulah orang-orang yang zalim.” (Surah Al-Baqarah, 2: 254)
Firman ALLAH yang bermaksud: “Katakanlah kepada hamba-hamba-Ku yang beriman hendaklah mereka mendirikan solat dan mendermakan sebahagian daripada apa yang Kami kurniakan kepad mereka sama ada dengan merahsiakan pemberiannya atau memberinya secara terbuka.” (Surah Ibrahim, 14:31)
Firman ALLAH yang bermaksud: “Berimanlah kamu kepada ALLAH dan Rasul-Nya dan belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian daripada harta benda (pemberian ALLAH) yang dijadikannya kamu menguasainya sebagai wakil; maka orang-orang yang beriman di antara kamu serta mereka yag memebelanjakan (sebahagian dariapda harta itu pada jalan ALLAH); mereka tidak beroleh pahala yang besar.” (Surah Al-Hadid, 57: 7)
Firman ALLAH yang bermaksud: “Dan belanjakanah sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang daripada kamu didatangi ajal mautnya.” (Surah Al-Munafiquun, 63:10)
Infaq boleh dilaksanakan melalui bermacam-macam cara antaranya ialah yang wajib seperti zakat dan nafkah kepada tanggungan atau yang sunat seperti wakaf, sedekah dan hibah.
Keberkatan
Berkat atau barakah adalah perkataan yang berasal daripada bahasa Arab. Ibnu Manzur dan kitab kamu Lisanul Arab mendefinisikan barakah (berkat) dengan maksud Az-Ziyaadah yang bererti bertambah. Ertinya bertambah nilai sesuatu itu.
Manakala Al-Farra’ pula ketika memberi makna lafaz wabarakaatuh dalam tasyahhud berkata bahawa barakah itu ialah As-Sa’aadah (kebahagiaan).
ALLAH berfirman yang bermaksud: “Kalau sekiranya penduduk sesebuah negeri itu beriman dan bertakwa nescaya Kami akan bukakan ke atas mereka keberkatan-keberkatan dari langit dan bumi,” (Surah Al-’Araf, 7: 96)
Iman As-Soowi dalam Hasyiah As-Soowi ketika mentafsirkan ayat diatas menyebut bahawa maksud barakah (keberkatan – keberkatan) ialah Ziyaadatul Khoir fis Syai ertinya pertambahan kebaikan pada sesuatu.
Dr Mustaffa al-Bugho ketika mentafsirkan ayat yang sama berkata barakah ialah bertambah dan kekalnya kebaikan Ilahi pada sesuatu.
ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Maha Suci (ALLAH) yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang Kami telah berkati sekelilingnya untuk Kami tunjukkan kepadanya daripada tanda-tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya Dia Maha mendengar lagi Maha melihat.” (Surah Al-Isra’, 17:1)
Tafsiran kepada ayat di atas oleh sebahagian ulama tafsir pada kalimah barakah pad ayat Baaraknaa dengan maksud datangnya nabi-nabi dan suburnya bumi.
Rasulullah SAW berdoa kepada Anas bin Malik yang bermaksud: “Ya ALLAH, perbanyakkan harta dan anaknya dan berkatilah dia di dalamnya.” (Riwayat Bukhari)
Kesimpulannya ialah berkat itu bermaksud bertambah nilai kebaikan sesuatu, terbitnya kebahagiaan yang dihasilkan oleh sesuatu dan berkekalan bantuan Ilahi hasil daripada sesuatu itu.
Ciri keberkatan
Berdasarkan kesimpulan opengertian berkat di atas maka dapatlah dirumuskan pengertian berkat berdasarkan ayat al-Quran dan Hadith berkaitan dengan infaq harta fi sabilillah seperti berikut.:
- Hati mudah ingat ALLAH
ALLAH berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah mereka yang apabila disebut nama ALLAH (dan sifat-sifat-Nya) akan gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepad merka ayat-ayat-Nya menajdikan mereka bertambah iman dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah. Iaitu orang-orang yang mendirikan sembahyang dan mendermakan sebahagian dariapda apa yang Kami kurniakan kepada mereka. Merekalah orang yang beriman dengan sebenar-benarnya; mereka akan mendapat pangkat-pangkat yang tinggi di sisi Tuhan mereka dan keampunan serta limpah kurnia yang mulia (di syurga).” (Surah Al-Anfal 8:2-4)
- Menjadi Mukmin berjaya
ALLAH berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya telah berjayalah orang yang beriman. Iaitu orang-orang yang khusyuk dalam solat, orang-orang yang menjauhkan diri daripada (perbuatan dan perkataan) yang tidak berguna dan orang-orang yang menunaikan zakat.” (Surah Al-Mukminun, 23: 1-4)
- Mendapat pertunjuk daripada ALLAH
ALLAH SWT yang berfirman bermaksud: “Agar menjadi pertunjuk dan berita gembira bagi orang-orang yang beriman, iaitu orang-orang yang mendirikan solat dan menunaikan zakat.” (Surah Al-Naml 27:2-3)
- Memperolehi rahmat
ALLAH berfirman yang bermaksud: “ Menjadi pertunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang melakukan kebajikan iaitu orang-orang yang mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka yakin dengan kewujudan negeri akhirat,” (Surah Luqman, 31:3-4)
- Memperolehi takwa
ALLAH berfirman yang bermaksud: “Kebajikan itu bukanlah dengan menghadapkan wajahmu ke timur dan ke barat. Akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada ALLAH, hari akhirat, para malaikat, kitab-kitab dan para nabi. Juga memberikan harta yang dicintai kepada kaum keluarga, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang yang meminta-minta. Juga memerdekakan hamba, mendirikan soalt dan menunaikan zakat. Dan orang yang menepati janjinya apabila berjanji serta orang yang bersabar dalam kesusahan, penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar (imannya) dan orang-orang yang bertakwa. (Surah Al-Baqarah, 2: 177)
- Memperolehi pertolongan ALLAH
ALLAH berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya ALLAH pasti menolong orang-orang yang menolong agama-Nya. Sesungguhnya ALLAH Maha Kuat lagi Maha Perkasa. Iaitu orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi ini nescaya mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh berbuat makruf dan mencegah daripada perbuatan mungkar dan kepada ALLAH-lah kembalinya segala urusan (mereka).” (Surah Al-hajj, 22: 40-41)
- Hajatnya diperkenan ALLAH
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang memenuhi hajat keperluan saudaranya maka ALLAH akan memenuhi hajat keperluannya pula.” (Riwayat Tobaroni)
- Mendapat doa malaikat
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap pagi ada malaikat yang berdoa iaitu: Ya ALLAH Ya Tuhan kami, berilah ganti kepad orang yang berinfaq (membelanjakan hartanya pada jalan ALLAH) dan berilah kemusnahan kepad orang yang bakhil.” (Muttafaqu’Alaih)
- Terangkatnya musibah kemarau
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila sesuatu kaum tidak menunaikan zakat nescaya ALLAH akan menguji mereka dengan tahun-tahun kemarau.” (Riwayat Tobaroni)
- Dijauhkan harta daripada kemusnahan
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak bercampur harta sedekah yakni zakat dengan harta yang lain melainkan harta zakat tersebut akan memusnahkan harta yang lain.” (Riwayat al-Bazzar dan al-Baihaqi)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila kamu menunaikan zakat harta kamu maka sesungguhnya kamu telah menghapuskan daripada harta kamu kejahatannya.” (Riwayat Abu Ya’la)
- Menyucikan dosa
ALLAH berfirman yang bermaksud: “Ambillah zakat daripada sebahagian harta mereka (orang-orang kaya). Dengan zakat itu kamu sebenarnya telah membersihkan dan menyucikan mereka.” (Surah At-Taubah, 9: 103)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sedekah memadamkan dosa sebagaimana air memadamkan api.” (Riwayat Abu Ya’la)
- Dilipat gandakan pulangan
ALLAH berfirman yang bermaksud: “Siapakah yang mahu memberikan pinjaman kepada ALLAH dengan pinjaman yang baik (menafkahkan hartanya di jalan ALLAH)? Maka ALLAH akan melipatgandakan pulangan kepadanya dengan gandaan yang banyak. Dan ALLAH-lah yang menyempit dan meluaskan rezeki dan kepada Dialah kamu akan dikembalikan.” (Surah Al-Baqarah, 3: 245)
ALLAH berfirman yang bermaksud: “Perumpamaan nafkah yang dikeluarkan oleh orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan ALLAH seumpama sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai. Pada setiap tangkai pula terdapat seratus biji buah. ALLAH melipatgandakan pulangan bagi sesiapa yang Dia kehendaki. Dan ALLAH Maha luas kurniaan-Nya lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al-Baqarah, 2: 261)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang bersedekah senilai dengan sebiji kurma daripada hasil usaha yang baik maka sesungguhnya ALLAH akan menerima sedekah tersebut dengan tangan kanan-Nya (sebagai bukti penerimaan yang baik). Kemudian ALLAH akan menjaganya sepertimana kamu membela seekor anak kuda semasa dilahirkan sehingga (harta yang tadinya senilai dengan sebiji kurma) itu membesar seperti gunung.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
ALLAH berfirman yang bermaksud : “Dan sahaja yang kamu dermakan maka ALLAH akan menggantikannya dan Dia jualah sebaik-baik pemberi rezeki.” (Surah Saba’, 34: 39)
- Mendapat keampunan dan syurga
ALLAH berfirman yang bermaksud: “Dan bersegeralah kamu kepada keampunan Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa. Iaitu orang-orang yang menafkahkan hartanya sama ada pada waktu dia senang mahupun waktu dia susah.” (Surah Ali-Imran, 3:133-134)
- Payung Mahsyar
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap orang akan berlindung di bawah naugan (payung) sedekahnya sehingga dijatuhkan hukuman terhadapnya di hadapan mansia.” (Riwayat Ahmad dan Ibnu Khuzaimah)
- Hati bahagia
ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Maka adapaun orang yang emmberikan (harta mereka pada jalan ALLAH) dan bertakwa serta yakin dengan ganjaran (yang akan diperolehinya) maka Kami akan memudahkan (jalan-jalan) kebahagiaan untuknya. Dan adapun orang yang bakhil lagi lupa daratan dan mendustakan ganjaran yang dijanjikan maka Kami akan memudahkan untuknya (jalan-jalan) kesusahan.” (Surah Al-Lail, 92: 5-10)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tunaikanlah zakat harta kamu pasti baik keadaan jiwa kamu.” (Riwayat Tobaroni)
- Hati tidak bimbang dan dukacita
ALLAH berfirman yang bermaksud: “Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada waktu malam dan siangm, dengan cara rahsia atau terbuka, maka mereka beroleh pahala dari sisi Tuhan mereka dan tiada kebimbangan (daripada berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka serta mereka pula tidak akan berdukacita.” (Surah Al-Baqarah, 2: 274)
- Ruh tenang ketika mati
ALLAH berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu dilalaikan oleh harta kekayaan kamu dan anak pinak kamu daripada mengingati ALLAH. Sesiapa yang berbuat demikian maka merekalah orang-orang yang rugi. Dan belanjakanlah sebahagian daripada apa yang Kami telah rezekikan kepada kamu sebelum datang kepada kamu ajal maut; maka di aakan mengeluh sambil berkata: “Wahai Tuhan, jikalaulah dapat Engkau tangguhkan ajal kami kesatu waktu lain yang terdekat untuk kami bersedekah (berzakat) dan kami ingin menajdi orang-orang yang soleh.” (Surah Al-Munafiquun, 63: 9-10)
Apabila untung ada tapi berkat tiada
Pada zaman kini kita pernah menyaksikan ada orang-orang kaya yang hidup sepanjang umurnya tanpa pernah merasa kebahagiaan, ketenangan, kedamaian dan keamanan. Ada pula dia antara mereka yang ditimpa dengan bermacam-macam penyakit misteri. Semua ini menggambarkan bahawa kebahagiaan yang dicari itu bukan datang daripada limpahan harta kekayaan tetapi ia datang daripada ALLAH.
Kehidupan duniawi sengsara
ALLAH berfirman yang bermaksud: “Sesiapa yang mengerjakan amal yang soleh sama ada lelaki mahupun perempuan dalam keadaan mereka beriman maka sesungguhnya Kami akan berikan kepada mereka kehidupan yang baik (bahagia) dan sesungguhnya Kami akan berikan ganjaran pahala yang lebih baik dariapda apa yang mereka telah kerjakan (di dunia dahulu).” (Surah An-Nahl, 16:97)
ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu, pasangan hidup kamu, kaum keluarga kamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbang akan merosot dan rumah kediaman yang kamu sukai,- (jiak semuanya itu) lebih kamu cintai daripada (menunaikan perintah) ALLAH dan Rasul-Nya dan daripada berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga ALLAH mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana ALLAH tidak akan memberi pertunjuk kepada orang-orang fasik (derhaka kepada perintah-Nya(.” (Surah At-Taubah, 9: 24)
Kehidupan ukhrawi derita
ALLAH berfirman yang bermaksud: “Pada hari itu (akhirat) dipanaskan emas dan perak di dalam neraka jahanam lalu diseterikanya kepada mereka); Inilah harta kekayaanmu yang kamu simpan untuk dimu sendiri (tanpa mengeluarkan zakatnya). Maka rasakanlah sekarang seksaan akibat daripada apa yang kamu simpan itu.” (Surah At-Taubah, 9:34-35)
ALLAH berfirman yang bermaksud: “Sesiapa yang inginkan kehidupan duniawi dan perhiasannya (tanpa mempedulikan tuntutan ukhrawai), nescaya Kami berikan kepada mereka balasan atas usaha mereak d dunia ini dengan sempurna dan mereka di dunia ini tidak dirugikan sama sekali. Itulah orang-orang yang tidak memperolehi apa-apa pada hari akhirat nanti melainka neraka. “ (Surah Hud, 11:15-16)
Penutup
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang menjadikan dunia sebagai kepentingan utamanya (matlamat utama hidupnya), maka ALLAH akan mencerai-beraikan urusannya dan ALLAH menjadikan kefakiran (menghantuinya) di antar kedua matanya. Dia tidak akan memperolehi apa-apa daripada (kebaikan) dunia keculai apa yang telah ditakdirkan untuknya. Dan sesiapa yang menjadikan akhirat sebagai kepentingan utamanya dan ALLAH menjadikan kekayaan pada hatinya dan dunia akan mendatanginya meskipun dalam keadaan terpaksa.” (Riwayat Ibnu Majah)
Rujukan
Kitab Al-Quran Al-Karim, H1429, Mat’baah Ibnu Halabi Pattani Thailand
- Syeikh Muhammad AL-Khudari Bik, 1998, Tahkik dan komentar Samir Ahmad Al-’Athor, Kitab Sirah Rasulullah SAW, Terjemahan Mohd Asri Hashim, Pustaka Salam Sdn Bhd
- Yusuf Al-Qaradawi, Ph.D, 2009, Ekonomi Islam Nilai dan Akhlak, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia
- Yusuf Al-Qaradawi, Ph.D, Kemiskinan dan Cara Islam Mengatasinya, 2000, Karya Terjemahan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM)
- Mohamed Sulaiman, Ph.D, Jejak Bisnes Rasul, 2010, PTS Professional Publishing Sdn Bhd
- Khurshid Ahmad, 1991, Terjemahan Sibly bin Maros, Dewan Bahasa dan Pustaka
- Mohd Gunawan Che Abd Aziz, 2008, Falsafah Pengurusan Harta: Tinjauan Qurani, Jurnal Pengurusan Jawhar, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji Malaysia
KREDIT: Ustaz Mohd Fauzi Mustaffa, Penasihat Syariah Koperasi TNB