oleh: AMIRAH AUNI BINTI ALIMAR SHIDI
“Saya sekeluarga hampir dihalau oleh tuan rumah kerana tidak dapat membayar tunggakan rumah sewa,”begitulah luahan pemanggil Soul Fitness Clinic Episiod 11, Siti Aishah Musa dari Kota Bharu, Kelantan.
Keluarga beliau hilang sumber pendapatan semenjak suaminya jatuh sakit dan tidak dapat bekerja. Ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan. Ibu kepada tiga anak remaja ini terpaksa mencatu makanan untuk dikongsi lima beranak.
“Kekangan kewangan juga menyebabkan bayaran sewa rumah, bil elektrik dan bil air tertunggak, ditambah bekalan barangan dapur terputus. Sebelum ini, saya yang pernah bekerja sebagai promoter, manakala suami berkerja di kampung bagi menyara hidup keluarga.
“Bagi menampung kos kehidupan, kami menjual aiskrim Malaysia yang di kawasan rumah dan kedai berdekatan. Selain itu, suami saya mengumpulkan barangan terbuang seperti plastik, botol dan kotak untuk menjana pendapatan.
“Namun, pendapatan tersebut tidak menentu kerana tempat pelupusan plastik atau barangan kitar semula tidak buka pada fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada Siti Aishah, salurkan sumbangan ke akaun Maybank 153010503253.
TIDAK MAMPU BAYAR SEWA, PINDAH KE DI RUMAH AYAH
Kehilangan sumber pendapatan ketua keluarga menjadi cabaran untuk meneruskan kelangsungan hidup, terutama pada musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ini juga memberi tekanan kepada suri rumah dalam menguruskan ekonomi keluarga.
Pemanggil Soul Fitness Clinic Episod 11, Nor Atirah Aliesya Rosdi, suri rumah dari Kota Bharu, Kelantan berkongsi cerita mengenai kekangan kewangan, selepas suaminya sebagai buruh, hilang pekerjaan ketika musim PKP.
“Kami sekeluarga kini berpindah ke rumah ayah saya kerana tidak mampu membayar wang sewa. Keutamaan kami adalah membeli barangan anak yang masih kecil seperti susu dan lampin pakai buang.
“Saya berhasrat untuk membantu meringankan beban suami dengan memulakan perniagaan makanan secara kecil-kecilan. Namun saya perlukan bantuan modal untuk memulakan perniagaan.
“Anak menjadi sumber kekuatan saya untuk teruskan kehidupan. Saya berharap dapat melihat anak membesar dengan baik. Sebagai warga terkesan dengan pandemik Covid-19, saya banyakkan doa dan bergantung kepada ALLAH SWT,” katanya.
Untuk membantu Nor Atirah, boleh salurkan sumbangan ke akaun BSN 0301441000136184
PINJAM DUIT JIRAN UNTUK KEPERLUAN BARANG DAPUR
Ibu mana yang tidak sedih apabila anak menangis kerana lapar. Apatah lagi tiada makanan untuk disuapkan. Inilah menjadi pilu Bagi Suhaiza Ahmad dari Jitra, Kedah, yang diuji suami hilang sumber pendapatan musim pandemik Covid-19.
Suami beliau sebagai mekanik di kampung terpaksa tutup kedai sejak musim PKP. Semua simpanan duit habis digunakan untuk keperluan keluarga termasuk tiga anak yang berusia antara hampir setahun hingga 6 tahun.
“Saya terpaksa jual barang kemas untuk dijadikan modal berniaga dan membayar hutang. Bayaran bil elektrik dan bil air semakin tertunggak turut memeningkan kami.
“Akibat terdesak, kami pernah meminjam duit jiran untuk menampung keperluan barang dapur. Kini, saya menjual baju kaftan di media sosial bagi mencari rezeki,” katanya.
Untuk membantu Suhaiza, boleh salurkan sumbangan ke akaun Bank CIMB 7046927162.