Oleh: SITI HAJAR HIDAYATI HAMID
Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac 2020, ibu tunggal dan dua anaknya hidup dalam sederhana dengan pemberian wang oleh bekas suami.
Namun semenjak bekas suami kehilangan pekerjaan ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kehidupan Zuraya Md Yusof menjadi sukar. Beliau sebagai pemanggil di program Soul Fitness Clinic berkongsi cerita pada 10 September 2021 .
“Saya mempunyai anak berusia 16 dah 17 tahun. Anak menjadi sukar untuk belajar apabila tiada penyediaan internet yang stabil. Saya sendiri tidak dapat bekerja kerana menghadapi masalah saraf sejak dahulu.
“Bagi meneruskan kelangsungan hidup, saya memaksa diri untuk bekerja sebagai pembantu di dapur. Setelah tiga bulan bekerja, saya mengalami penyakit sendi. Malah, penyakit saraf tulang belakang yang dialami sejak dahulu telah memberi kesan buruk terhadap sendi badan saya terutamanya pada sendi tangan.
“Saya langsung tidak boleh menggenggam tangan apatah lagi melakukan perkara lain yang melibatkan penggunaan tangan. Saya tidak dapat memasak dan membuat kerja rumah serta sukar tidur malam kerana penyakit sendi tersebut.
“Jika difikirkan, ada orang lagi susah daripada kita. ALLAH masih sayangkan saya. Jadi saya bersyukur dan reda atas ujian yang dilalaui. Anak juga menjadi sumber semangat saya.
Orang ramai yang ingin membantu Zuraya, boleh salurkan ke akaun Maybank 164052023296.
RISAU HUTANG KELILING PINGGANG, PERLUKAN PEKERJAAN
Pemanggil Soul Fitness Clinic, Lee Wei Ying, dari Klang Utama, Selangor, merupakan ibu kepada empat anak. Suami beliau tidak dapat bekerja kerana masalah penyakit jantung berlubang dan patah tangan akibat kemalangan.
Wei Ying mengambil alih tugas suami untuk menanggung keluarga. Beliau yang pernah bekerja di kedai kopi kini kehilangan kerja pada musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Beliau mendapat bantuan daripada jiran dan rakan yang prihatin sepanjang tempoh tersebut.
“Sebelum ini, gaji saya di kedai kopi dapat menyara perbelanjaan keluarga, termasuk sewa bilik, makanan dan keperluan anak. Bila terputus sumber rezeki, saya terpaksa pinjam duit daripada jiran dan rakan untuk beli makanan dan susu anak.
“Apa yang merungsingkan saya adalah hutang semakin bertambah. Rakan-rakan pun susah juga, tidak dapat pinjamkan duit. Bagi saya yang penting adalah membesarkan anak dengan sihat. Selepas PKP, saya harap dapat bekerja semula dan menjalani kehidupan lebih baik,” katanya.
Orang ramai boleh memberi sumbangan, boleh salurkan bantuan kepada Lee Wei Ying ke akaun CIMB 7627594723.