“Hampir dua tahun, pendapatan saya semakin menurun hinggalah tiada lagi pendapatan atau keuntungan yang masuk. Semua duit simpanan yang ada habis buat bayar hutang dan perbelanjaan harian.”
Demikian luahan tukang jahit, Sarimah Ismail, 56, ketika ditemu bual dalam program Soul Fitness Clinic yang bersiaran di platform utama Facebook Soul Fitness pada 28 Julai 2021. Setiap pemanggil yang terpilih diberi sumbangan sebanyak RM200, hasil sumbangan orang ramai melalui daripada Tabung Gerakan Al-Quran.
Program tersebut dianjurkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas bertujuan untuk membantu golongan terkesan akibat pandemik Covid-19 dari segi sokongan kerohanian dengan berpandukan al-Quran dan sumbangan kewangan RM200 kepada mereka yang terpilih.
Sebelum Perlaksanaan Kawalan Pergerakan (PKP), ibu tunggal kepada seorangn anak ini pernah meraih pendapatan ribuan ringgit melalui tempahan jahitan. Namun siapa sangka, perniagaan beliau terkesan sehingga tiada pendapatan.”

“Kesan pandemik Covid-19 yang melanda negara semenjak tahun lepas adalah tempahan baju raya tidak mendapat sambutan sehingga Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
“Saya terpaksa memberhentikan dua daripada tiga pekerja kerana tidak mampu untuk membayar gaji mereka. Hanya seorang sahaja yang diambil secara kontrak.
“Keputusan kerajaan mengumumkan kemudahan pengeluaran caruman Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan langkah permulaan yang sangat berkesan bagi meringankan beban saya.
“Namun, saya telah menggunakan semua wang tersebut untuk membayar hutang termasuk kad kredit dan bayaran kereta.”

Sarimah melakukan pelbagai kerja bagi menampung keperluan dan pembelajaran anak tunggalnya di sepanjang PKP. Beliau menjual tanah tanaman dan mendapat komisen daripada ejen.
“Sepanjang tempoh PKP, saya mendapat bantuan daripada komuniti dan wakil rakyat dalam bentuk sumbangan makanan dan wang. Saya juga pernah menerima bantuan RM200 daripada pihak pusat zakat.
“Selepas PKP, saya berharap kembali menjahit dan dapat lebih banyak tempahan jahitan yang menjadi sumber pendapatan keluarga saya,” katanya yang berpengalaman 20 tahun sebagai tukang jahit.

Hikmah di sebalik ujian yang dilalui, Sarimah menggunakan ruang masa untuk mendekati ALLAH SWT melalui mengaji, solat sunat dan bersedekah. Jika tidak mampu membantu kepada golongan yang memerlukan, beliau menyebarkan maklumat tersebut kepada grup WhatsAPP, selain melibatkan diri dalam kerja amal bagi membantu golongan terkesan akibat Covid-19.
Orang ramai yang ingin menempah pakaian atau hiasan dalaman di sekitar Seremban, boleh hubungi Sarimah di talian 012-9351030. Saluran bantuan juga boleh disalurkan terus ke akaun Alliance Bank 050170012707869.
NOTA: Terima kasih kepada para penyumbang Tabung Gerakan Al-Quran yang bersama membantu masyarakat yang terjejas kesan daripada pandemik COVID-19. Untuk sumbangan ke Tabung Gerakan Al-Quran WUI boleh dibuat melalui MBB : 564276538528 (Warisan Ummah Ikhlas Foundation)