Oleh: SITI HAJAR HIDAYATI HAMID
“Saya mengalami masalah kewangan untuk membeli susu untuk bayi saya yang baru lahir. Saya sedang dalam tempoh berpantang dan merupakan ibu tunggal yang baru sahaja diceraikan,” kata Effarizan Osman, pemanggil program dalam talian Soul Fitness Clinic pada 1 September 2021.
Ibu tunggal dari Sarawak ini kini menumpang teduh bersama dua anaknya di rumah bapanya. Beliau yang pernah bekerja di hotel telah hilang pekerjaan akibat kesan pandemik Covid-19. Namun beliau bersyukur kerana mempunyai adik-beradik yang sudi menghulurkan bantuan keperluan asas untuk dirinya dan anaknya.
“Sebelum ini, saya pernah menjual kuih di tepi jalan. Saya berhasrat untuk memulakan semula perniagaan kuih bagi menampung keperluan keluarga. Saya berdoa dan berharap dapat mendidik anak dengan baik.
“Nasihat saya untuk ibu tunggal di luar sana, jangan cepat patah semangat. Teruskan hidup demi anak anak. ALLAH selalu ada untuk kita diwaktu susah mahupun senang,” katanya.
Orang ramai boleh memberi sumbangan, boleh salurkan bantuan kepada Effarizan Osman ke akaun bank Maybank 220901207700.
DICERAIKAN KETIKA SARAT MENGANDUNG
Ibu tunggal kepada tiga anak dari Rawang gigih bekerja untuk menyara diri, keluarga dan ibu yang kurang sihat. Orang yang dimaksudkan ialah Nurul Asmiza Alwadiah Suhaimi yang menjadi pemanggil program secara dalam talian Soul Fitness Clinic pada 1 September 2021.
Program berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal ini menyantuni golongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19 melalui sumbangan RM200,daripada orang ramai melalui Tabung Gerakan Al-Quran.
“Sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya bekerja sebagai tukang masak di sebuah universiti di Kuantan. Memang sukar bekerja dalam keadaan sarat mengandung. Namun lebih memeritkan apabila berpisah dengan suami.
“Saya terpaksa berhenti kerja dan membawa anak-anak untuk tinggal di rumah emak di Rawang. Kini saya bekerja sebagai pembungkus barang separuh masa di sebuah gudang pasaraya. Pendapatan tidak tetap gaji dibayar ikut kerja.”
Demi kelangsungan hidup, Nurul Asmiza yang juga menjaga ibunya telah menjadi dropship barangn kosmetik, namun sambutan pelanggan kurang memberangsangkan.
“Semangat saya datang daripada anak, serta sokongan daripada keluarga dan rakan. ALLAH menjadi sumber kekuatan saya. Jadi saya reda dengan apa yang berlaku dan teruskan kehidupan demi masa hadapan anak-anak.
“Kawan baik saya pernah berpesan bahawa ALLAH SWT sentiasa ada dan sayangkan kita. Sejak itu, saya berlapang dada dan yakin ALLAH bantu saya. Pada masa sama, saya terus berusaha dan bertawakal dengan apa yang ada sekarang untuk teruskan kehidupan,” katanya penuh bersemangat.
Untuk membantu Nurul Asmiza Alwadiah, boleh salurkan sumbangan ke akaun bank Maybank 164717120095
HILANG SUMBER PENDAPATAN SEBAGAI PENGASUH KANAK-KANAK
Niat bekerja Siti Nurul Syamiza Udin sebagai pengasuh kanak-kanak untuk membantu keluarga tidak kesampaian apabila tiada permintaan penjagaan anak daripada ibu bapa ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Pendapatan suami sebagai mekanik turut terjejas apabila gajinya dkurangkan.

Pemanggil Soul Fitness Clinic yang bersiaran pada 30 Ogos 2021 ini tidak mampu untuk mencari pekerjaan di luar, memandangkan faktor kesihatannya yang perlu dijaga. Sebelum ini, beliau terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan limpanya hancur.
“Atas nasihat doktor, saya tidak boleh melakukan kerja berat dan berada di tempat yang mudah terdedah kepada penyakit terutamanya Covid-19. Saya berdoa agar dijauhkan daripada segala penyakit dan dilimpahruahkan rezeki.
“Solat sunat Dhuha menjadi amalan harian saya. Selain itu, doa terus dipanjatkan kepada ALLAH SWT agar dimudahkan segala urusan kehidupan sekarang dan mendatang,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu Siti Nurul Syamiza, boleh salurkan ke akaun bank CIMB 7619620503.
INFO
Program Soul Fitness Clinic dianjurkan oleh Warisan Ummah Ikhlas Foundation (WUIF) dengan kerjasama Sinar Harian dan Akademi Sinergi Ikhlas Sdn Bhd bagi membantu golongan terkesan akibat pandemik Covid-19.
Program yang berakhir 10 September 2021 itu mengabungkan solusi daripada Al-Quran dan Hadis yang disampaikan oleh moderator merangkap pentadabbur dan sumbangan tunai daripada Tabung Gerakan Al Quran. Terima kasih kepada semua penyumbang dalam menggerakkan tabung tersebut.
Untuk sumbangan ke Tabung Gerakan Al-Quran WUI, sila masukkan ke akaun Warisan Ummah Ikhlas Foundation di akaun MBB : 564276538528.
Comments on Verse