KISAH MYQT0018
Semenjak saya mengikuti Malaysia #QuranTime sehingga kini, My #QuranTime, ia banyak memberi kesan kepada diri saya. Jika sebelum ini saya penagih dadah yang tegar, kini menjadi ketagih #QuranTime.
Saya mengambil dadah sejak 1996. Kini saya sudah berusia 56 tahun. Tipulah kalau saya kata tidak menagih langsung. Alhamdulillah, saya sudah kurangkan ketagihan dan mengubah untuk menjauhi dadah.
Saya menanamkan azam dan semangat untuk membuang jauh dan membenci ketagihan ini. Ia mungkin ambil masa untuk saya bersih daripada dadah. Apapun saya rasa syukur alhamdulillah kerana kini menjadi penagih al-Quran.
Pengisian ilmu al-Quran melalui #QuranTime yang bersiaran di TV AlHijrah telah memberi keyakinan kepada saya untuk kembali kepada al-Quran. Ayat-ayat al-Quran yang dibacakan oleh para qari dan pentadabbur mampu menusuk dan mencairkan hati rohani saya.
Saya mendapat penjelasan ayat al-Quran seperti kutuk saya, kemudian ada ayat al-Quran yang memujuk dan beri semangat kepada saya.
Kalam ALLAH perlu kita yakini. Kita jangan membiarkan nafsu merajai kita, sebab kita diberi akal, akal diberi ilmu. Ilmu itu datang daripada ALLAH SWT.
Jika ilmu al-Quran sudah sampai menjentik hati tetapi masih tidak sedarkan diri, ini bermakna kita tolak Tuhan dan ketepikan Dia. Ini menyebabkan seseorang itu melihat Kalam Tuhan sebagai duka cita, bukan jalan rujukan atau panduan hidup.
Mengikuti pengisian My #QuranTime, telah membuatkan saya menangis banyak kali. Sebelum ini saya menjaga arwah ibu yang sedang uzur sehingga beliau meninggal dunia baru-baru ini. Arwah ibu saya berpesan kepada saya agar jangan tinggal solat dan jaga al-Quran.
Walaupun penjelasan tenaga pengajar My #QuranTime bertaraf universiti, tetapi saya dapat mengikutinya. Cara penyampaian beliau terus masuk ke hati untuk kita berfikir.
Sesetengah penceramah lain melontarkan soalan untuk kita sendiri berfikir dan renung-renungkan. Sedangkan saya tidak ada ilmu untuk memahaminya.
Berbeza dengan pentadabbur My #QuranTime yang selalu memberi soalan dan menjawab sendiri soalan tersebut. Cuma kita sebagai penonton boleh terima atau tidak, terpulang. Jawapan yang diberi oleh pentadabbur adalah jawaban daripada ALLAH, dan bukannya sesedap hati dia bercakap.
Saya kini berusaha tinggalkan terus dadah. Saya sebenarnya malu kepada diri sendiri.
Adik-beradik saya tidak marah, malah mereka memberi sokongan atas perubahan diri saya. Dengan mendekati diri al-Quran, saya mendapat semula maruah saya.
Antara ayat al-Quran yang sangat dekat dengan saya antaranya:
ALLAH SWT berfirman: “Sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan gurau senda. Jika kamu beriman serta bertakwa, ALLAH akan memberikan pahala kepadmu, dan Dia tidak akan meminta hartamu.” (Surah Muhammad, 47: 36)
ALLAH SWT berfirman: “Dan kehidupan dunia ini hanyalah gurau senda dan permainan. Dan sesungguhnya negeri akhirat itulah kehidupan yang sebenarnya jika mereka mengetahui.” (Surah Al-Ankabut, 29 : 64)
ALLAH SWT berfirman: “Dan kehidupan ini, hanyalah permainan dan senda gurau. Sedangkan akhirat itu, sesungguhnya lebih baik bagi orang yang bertakwa. Tidakkah kamu mengerti?” (Surah Al-An’am, 6 : 32)
Ternyata dunia ini tempat senda gurau. Jadi kita perlu fikir semula untuk jaga diri daripada perkara lagha. Ikutlah jalan ALLAH, insya-ALLAH, kita akan raih semula maruah di sisi ALLAH.
Alhamdulillah, saya kini boleh ikuti bacaan al-Quran. Saya sudah beli al-Quran sendiri semata-mata untuk mengikuti My #QuranTime.
Kalau boleh ia bukan sekadar khatam al-Quran, malah dapat khatam setiap perkataan yang mengandungi sifat dan makrifat.
Saya berdoa semoga saya menjadi hamba ALLAH yang berakal dan berilmu dengan berpandukan al-Quran dan Sunnah untuk menuju ke jalan yang diredai ALLAH. Amin.
Daripada
Shah Harun
Kemaman, Terengganu
*Gambar hiasan – FOTO SH
——————————————————————————-
P/S: Jika ada berminat untuk berkongsi kisah inspirasi berwakaf dan mencari keredaan ALLAH, boleh emelkan nukilan anda kepada [email protected] WhatsApp nukilan anda di 019 380 3635.
Misi MENGQURANKAN BANGSA, MENGIKHLASKAN UMMAH
#WakafQuran
#QuranCorner
#TroliIbadah