“Kita mesti berperanan mengharmonikan kehidupan dalam masyarakat berbilang kaum untuk menjadi negara terbaik, sebagaimana ditunjukkan oleh Rasulullah SAW yang membangunkan Madinah.”
Demikian kata Pengasas Maahad Tahfiz An Nabawi (Matan Centre) dan pendakwah bebas, Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani yang berkongsi kupasan sifat ibadurrahman yang ke 7, dalam Surah Al-Furqan ayat 68 hingga 69, bertajuk “Menjauhi pembunuhan dan menghormati kehidupan” di pejabatnya, Seksyen 8, Shah Alam, 4 Ogos lalu.

Ustaz Ahmad Dusuki berkata, ALLAH SWT mengajar kemuliaan kepada setiap insan. Nyawa merupakan anugerah besar daripada ALLAH yang perlu dihargai oleh setiap insan sehinggalah dipanggil pulang.
“Sifat Muslim tidak membunuh orang tanpa hak di sisi ALLAH. Bunuh ada dua bentuk iaitu fizikal dan batin. Ramai orang nampak membunuh seseorang dari segi fizikal tetapi tidak rasa membunuh dalam bentuk batin. Contohnya, membunuh cara batin dengan menggunakan sihir.
“ALLAH SWT berpesan dangkan kepada kita, jangan sesekali membunuh jiwa dalam kalangan manusia kecuali dengan kebenaran. Inilah sifat ibadurrahman yang bermaksud, hamba yang ALLAH Ar-Rahman. Mereka hidup dalam keadaan harmoni antara satu sama lain.
“Bahkan Islam mengajar kita berdamai antara satu sama lain dengan memberi salam. Rasulullah SAW berpesan sebarkan salam orang yang kamu kenal dan tidak kenal.”
Beliau menambah, elakkan membangun isu perkauman dalam kalangan masyarakat, jangan hidup berpuak-puak. Ini tidak selari dengan sunnah Rasulullah SAW. Islam mengajar kita untuk membangunkan dalam jiwa masyarakat.
“Menjadi tanggungjawab ibadurrahman bermula daripada pemimpin untuk menerangkan keindahan Islam kepada masyarakat bukan Islam. Jika mereka tidak faham Islam, akhirnya mereka menjadi musuh kepada Islam.
“Setiap Muslim perlu menjadi contoh akhlak yang baik dan mempraktikkan kehidupan Islam yang betul kepada mereka. Inilah yang dibawa oleh Rasulullah SAW dalam mengajar dan berdakwah.

“Kita melihat Islam dapat menyatukan ummah dan menjadikan negara berdaya saing dalam berhadapan konflik antarabangsa hari ini. Jika kita bertelagah dalam urusan, kembalilah kepada al-Quran dan Sunnah, dan bukan mencari solusi melalui akal, idea dan teknik semata-mata.
“Negara ini terus membangun maju sekiranya semua umat menerima Islam dan berpegang teguh kepada al-Quran dan Sunnah,” katanya.
Surah Al-Furqan ayat 63 hingga 77 menjadi surah pilihan bagi tema Malaysia #QuranHour, “Malaysia Harmoni: Pembinaan 12 personaliti Ibadurrahman” pada 30 Ogos 2020, bersamaan 11 Muharram 1442H.
Malaysia #QuranHour tahun ke 6 ini bersiaran secara langsung di empat stesen TV dan platform digital iaitu, TV AlHijrah, RTM, Bernama TV, Astro Oasis, Sinar Harian dan IdeakTiV pada jam 12 tengah hari hingga 1 tengah hari pada hari tersebut.
Untuk maklumat lanjut mengenai Pesan Ilmuwan – 12 Personaliti Ibadurahman, sila layari di http:/bit.ly/ibadurrahmanYouTube dan https://www.facebook.com/WorldQuranHour/