SFC EPISOD 1: CARA MELEPASKAN KESEDIHAN BERPANDUKAN KISAH NABI YAAKUB AS

Tiada manusia hidup tanpa kesedihan. Namun bagaimana melepaskan kesedihan mengikut cara Nabi Yaakub AS?

ALLAH SWT berfirman:  “Dan dia (Yaakub) berpaling daripada mereka (anak-anaknya) seraya berkata, “Aduhai sedihnya aku mengenang Yusuf,” dan kedua-dua matanya menjadi buta kerana sedih. Dia diam menahan amarah (terhadap anak-anaknya.” (Surah Yusuf: 84- 86)

Pakar Psikologi Organisasi, Dr Alizi Alias dalam perkongsiannya di program Soul Fitness Clinic: Klinik Terapi Al-Quran dan Sunnah bertajuk “Move on Dari Kesedihan” berkata, sebenarnya semua nabi dan rasul adalah maksum, iaitu tiada dosa. Jika ada berlaku kelemahan dan kesilapan pada mereka, ia adalah ciri manusiawi.

Ini memudahkan kita sebagai manusia untuk mencontohi sunnah nabi-nabi AS dalam mengurus kepayahan dan kesusahan termasuk dalam masalah emosi. Nabi Yaakub AS reda dengan apa yang berlaku dan bertawakal kepada ALLAH SWT. Baginda AS hanya mengadu kesusahan dan kesedihannya kepada ALLAH yang menjadi sumber sokongan emosi.

Hos Zaim Zamri bersama Pakar Psikologi Organisasi, Dr Alizi Alias dalam program Soul Fitness Clinic Terapi Al-Quran Episod 1, bertajuk “Soul Fitness Clinic” di platform FB Soul Fitness Clinic dan World Quran Hour.

 

Istilah “move on” Nampak macam seolah-olah “forget”. Dalam psikologi, kita tidak ajar “forgive (memaafkan) dan forget (melupakan).” Nabi Yaakub AS sebenarnya tidak mengamalkan “forgive dan forget” kerana baginda masih ingat apa yang berlaku. Baginda AS mengamalkan “forgive dan move on.”

Dalam Surah Yusuf ayat 86 menunjukkan Nabi Yaakub AS mengetahui semua perkara daripada ALLAH melalui wahyu. Baginda AS telah “move on” walaupun tidak boleh melupakan apa yang dilakukan oleh anak-anak lain terhadap Nabi Yusuf yang dilaporkan mati ketika kecil.

Namun peristiwa Bunyamin ditahan di Mesir, menjadi trigger (pencetus emosi) kepada Nabi Yaakub AS untuk mengingati kehilangan Nabi Yusuf AS. Sebagai manusia, ia adalah perkara normal untuk beremosi. Apa yang penting adalah teruskan kehidupan dan bertawakal kepada ALLAH SWT.

POSITIVITI TOKSIK

Kenapa kita cenderung menuturkan ayat-ayat positiviti toksik? Menurut Alizi, selama ini, kita mungkin sudah terbiasa menuturkan ayat positiviti toksik, atau kekadang kita tersalah menuturkan ayat positiviti toksik apabila ada orang mengadu emosi. Ini disebabkan kurang kesedaran mengenai kesihatan mental atau belum terdedah dengan advokasi kesihatan mental di media sosial.

Pakar Psikologi Organisasi, Dr Alizi Alias

Positiviti toksik adalah orang yang hendak positif tapi dengan cara beracun, iaitu tidak membantu. Orang tersebut acah-acah berfikiran positif dengan menggunakan logik akal, tetapi menafikan emosi orang yang mengadu.

Dia kononnya mengambil berat tetapi sebaliknya mengutuk atau memperlekehkan dengan kata-kata yang menyakitkan sama ada sengaja atau tidak sengaja seperti “Kau ni banyak dosa”, “Kau tidak buat qiyamullail”, “tak baca Mathurat dan zikir”.  Ini akan membuatkan si pengadu bukan sahaja menjadi serba salah, tapi juga tidak mahu lagi mengadu emosi, atau lebih teruk lagi mengelak daripada mendapatkan bantuan professional.

Jangan guna logik akal sehingga tidak menyantuni emosi. Inilah toksik sebenar. Antara cara memberi respons kepada orang yang menuturkan ayat positiviti toksik adalah:

  • Hentikan perbualan dan beritahu dia apa yang kita harapkan daripada dia.
  • Beritahu awal-awal mengenai harapan kita ialah untuk meluahkan perasaan kepada dia untuk didengari, bukannya untuk meminta nasihat atau solusi. Beritahu secara jujur. Orang yang bermasalah emosi tidak perlukan nasihat bentuk akal, tetapi memerlukan santunan emosi.
  • Beritahu penutur positiviti toksik bahawa anda sangat memerlukan sokongan emosi sekarang, tapi nampaknya anda tidak memperolehinya. Beritahu dia sama ada anda boleh beri maklum balas tantang cara dia memberi reaksi yang toksik itu.
  • Jika memang dia tidak mahu berubah dan masih konsisten menuturkan ayat positiviti toksik, anda boleh tinggalkan dia dan cari sumber sokongan emosi yang lain.

Masyarakat mungkin terbiasa dengan maskuliniti toksik yang menganggap lelaki tidak boleh menangis, dan tidak boleh luahkan perasaan. Sebenarnya perkara tersebut tidak sihat. Dalam sirah nabi, Saidina Umar Alkhatab yang garang juga menangis. Tidak kisahlah menangis seorang diri, di hadapan orang yang disayangi mahupun orang ramai. Menangis itu sihat, tapi perlu berpada.

ERTI SABAR

Daripada Anas Ibn Malik RA, pernah suatu hari Nabi Muhammad SAW melewati seorang wanita yang sedang menangis di tepi kubur. Baginda SAW pun berpesan kepadanya: “Bertakwalah kepada ALLAH! Bersabarlah.”

Wanita itu membalas: “Jauhi diriku! Engkau tidak ditimpa musibahku ini!” Wanita itu sebenarnya tidak mengenali itu adalah Nabi SAW. (Sesudah itu) ada yang menjelaskan kepada wanita itu, “Orang tadi adalah Nabi Muhammad SAW”. Lalu, (kerana terkejut) dia terus ke rumah Nabi SAW (untuk meminta maaf) dan dia tidak mendapati sebrang pengawal pun di depan rumahnya.

Dia terus menjelaskan kepada Nabi SAW, “Aku tidak mengenal dirimu tadi” Baginda SAW pun menyebutkan, “sebenarnya sabar itu bermula dengan hentakan pertama!” (HR Bukhari & Muslim)

Ahli psikologi, doktor psikiatri dan kaunselor berpendapat jangan awal-awal tuturkan kata-kata menyuruh sabar. Tapi, ia seperti bertentangan dengan mesej hadis tersebut. Pengajaran sebenar hadis ini bukanlah tentang sunnahnya menyuruh orang yang bersedih untuk sabar. Sebab  Nabi Muhammad SAW membiarkan dan mengundur diri apabila diminta jauhi oleh wanita tersebut. Ini menunjukkan Baginda SAW mengiktiraf emosi wanita tersebut. Jika sekiranya kemarahan wanita itu satu dosa, sudah tentu Nabi Muhammad SAW akan menegur perbuatan wanita tersebut.

Hentakan pertama dalam bahasa psikologi adalah cetusan emosi paling awal. Sunnah Nabi Muhammad SAW ini membimbing kita bagaimana mengurus cetusan emosi di fasa awal agar tidak melakukan sesuatu yang kita akan menyesal di kemudian hari atau meningkatkan risiko penyakit mental.

Antara cara moden mengawal emosi adalah teknik pernafasan, teknik relaksasi dan teknik “grounding”. Contoh berlaku hentakan pertama, kisah Siti Khadijah RA menyelimutkan Nabi Muhammad SAW selepas menerima wahyu di Gua Hira’. Ini adalah contoh menyantuni emosi (malah fisiologi) dengan cara menenangkan sehingga mampu berfikir dengan terbuka sebelum memberi nasihat.

Menangis secara khusus atau sedih adalah emosi fitrah yang diberikan oleh ALLAH SWT kepada setiap insan. Tanpa emosi tersebut, kita tidak terasa kehilangan dan sumbangan orang yang disayangi. Contohnya, Nabi Muhammad SAW menangis ketika kematian anaknya, Ibrahim.

Apabila ada orang meluahkan emosi kepada kita, kita usahakan terlebih dahulu agar dia kembali tenang. Iman lebih mudah dipupuk jika manusia berada dalam keadaan tenang. Jika dikutuk, ia mungkin boleh mengurangkan iman atau menyampah dengan Islam kerana menggunakan kita menafikan emosi dengan menggunakan ayat-ayat keagamaan.

FIKIRAN NEGATIF KEPADA POSITIF

Pemikiran positif menurut psikologi saintifik tidak boleh dilakukan secara paksa. Bagaimana seseorang itu boleh berfikiran positif jika berada dalam keadaan sedih, marah dan kecewa? Ini isu emosi, bukan isu kognitif.

Antara keburukan orang yang berpemikiran positif secara tidak tulen atau palsu ialah dia akan menganggap orang yang beremosi negatif atau ingin mengadu emosi negatif sebagai pembawa “negative vibes” dan oleh itu perlu dijauhi. Ini bukanlah sifat Muslim, pendakwah, atau murabbi yang baik.  Ini adalah positiviti toksik.

Antara keburukan lain mereka yang mengamalkan pemikiran positif yang tidak tulen dan palsu ialah menganggap pihak yang mengkritik secara membina kononnya dengki dan cuba menghalang kejayaannya. Ini adalah positiviti toksik yang melahirkan sikap sukar dimuhasabah.

Pemikiran positif yang tulen bukan dibina dalam 1-2 minit, tetapi perlukan Latihan berterusan sejak kecil. Bagi pengadu yang mempunyai penyakit mental, pemikiran positif secara paksa tidak dapat membantu. Mereka perlukan rawatan professional.

Tip tukar pemikiran negatif kepada positif:

T – Transform atau tukar pemikiran negatif kepada yang lebih positif secara tulen dan bukan secara memaksa

H – Highlight (tonjolkan) aspek positif daripada situasi negatif yang berlaku

I – Interrupt (ganggu) pemikiran negatif dengan teknik relaksasi seperti makan, bersenam atau hubungi orang tersayang.

N – Note (ambil maklum) tentang keperluan pemikiran positif untuk husnuzon atau bersangka baik kepda ALLAH, diri dan orang lain.

K – Know (ketahui) cara memecah permasalahan menjadi kecil dan lebih mudah diurus.

Fikiran berkecamuk disebabkan emosi terganggu. Ibu bapa, dan guru berperanan untuk melatih anak untuk membina kerangka fikir positif.

“ANXIETY DISORDER”

Ditanyakan mengenai kecelaruan keresahan (anxiety disorder) dikaitkan dengan keyakinan ,  kepada ALLAH, Alizi berkata, ia sebenarnya tidak mudah untuk melabelkan orang sedemikian. Ramai orang tidak menghidap penyakit mental tetapi tidak yakin dengan ALLAH.

Mungkin ada dalam kalangan pesakit mental, disebabkan kepayahan yang dihadapi, maka terpacul ucapan atau tindakan seolah dia tidak yakin kepada ALLAH. Ini memang sukar untuk dibezakan sama ada ia disebabkan lemah iman, atau disebabkan penyakit mental. Kita tidak tahu urusan iman, takwa, syurga dan neraka. Kita jadilah insan yang rahmah dalam menyantuni emosi dengan baik. Sebagai pendakwah, dan murabbi sepatutnya santuni mereka dengan baik.

Keyakinan kepada ALLAH adalah masalah hati yang sukar diukur. Cara kita menegur secara tazkirah islamik mungkin nampak baik, tapi berdasarkan kajian al-Quran, Sunnah dan Sirah, ia tidak seperti itu. Cara menyantuni orang yang mengalami cetusan emosi atau emosi negatif adalah memberi sokongan emosi dan spiritual, bukan menafikan emosi dan mempertikaikan spiritualiti. Oleh itu, kurangkan melabel, banyakkan sokongan dan menyantuni emosi.

Kesimpulan:

  1. Sukar kita hendak “forgive and forget” tapi kita boleh “forgive and move on”.
  2. Sabar ada banyak manifestasi dan jangan terpenjara dengan definisi kita sendiri tentang sabar.
  3. Apabila berlaku cetusan emosi yang melampau, mereka yang mengalami emosi tersebut perlu urus emosi dengan baik agar tidak membawa perkara lebih buruk atau atau melakukan perkara yang akan dikesali kemudian hari.

Untuk tontonan semula, sila layari (1690) EP01 Soul Fitness Clinic: Cara Move On Daripada Kesedihan, Dr Alizi Alias – YouTube

 

 

 

 

 

 

 

 

Leave a Reply