Oleh: MARAWATY ABDUL HARIS
Golongan usahawan antara yang terkesan akibat pandemik Covid-19, sehingga terpaksa mencari peluang lain untuk kelangsungan hidup.
Begitu juga yang dialami oleh pemilik Furqon Natural Therapy & Acupuncture Centre, Petaling Jaya, Hafiza Alias yang terpaksa akur dengan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menghentikan operasi perniagaan sepanjang tempoh tersebut.
Kesan penutupan operasi perniagaan tersebut menyebabkan tiada sumber pendapatan. Dua daripada tiga pekerja secara sukarela berhenti kerja. Namun beliau dan suaminya tidak mahu mengalah untuk rebah kerana perniagaan yang dijalankan adalah menawarkan kaedah rawatan Islam dan akupuntur.
“Sebanyak 70 peratus daripada hasil keuntungan perniagaan didermakan kepada Maahad Tahfiz dan selebihnya digunakan untuk program Rumah Ngaji @ Furqon DWP yang kami buka kepada orang ramai.

“Kami menjalankan kelas bertajuk La Tahzan secara dalam talian di bawah Rumah Ngaji. Ia secara langsung memberi semangat kepada kami dan masyarakat dalam menghadapi pandemik ini.
“Sekarang kami bertawakal dan memberi manfaat kepada masyarakat di luar. Saya percaya apabila kita banyak menolong orang, ALLAH akan membalas kebaikan. Semoga perniagaan kami yang mementingkan kesihatan terus beroperasi dan menjadi ibadah yang diterima ALLAH,” katanya.
Orang ramai yang berminat untuk mendapatkan rawatan rawatan komplimentari seperti akupuntur, bekam, dan terapi ais, bolehlah menghubungi Hafiza untuk tempahan di link yang diberikan furqonnaturaltherapyacupunture.com atau ingin menderma terus ke akaun Maybank 12289010023097.
GUNA DUIT MODAL, GADAI BARANG KEMAS UNTUK KELANGSUNGAN HIDUP
Pemanggil Soul Fitness Episod 12, Suhaiza Ahmad dari Kodiang, Kedah berkongsi kisah mengenai suaminya yang membuka bengkel motor sebagai pendapatan utama keluarga terpaksa ditutup sepanjang musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Suami saya tidak pendapatan sejak April 2021, telah menggunakan semua modal berniaga sebelum ini untuk membayar dan membeli keperluan. Saya juga terpaksa menjual barang kemas bagi kelangsungan hidup kami sekeluarga.
“Saya rasa sebak dan sedih apabila tidak dapat memenuhi keinginan anak. Kami hanya membeli mengikut keperluan sahaja. Saya doakan virus ini akan hilang dengan segera di muka bumi ini agar kami dapat membuat kerja seperti biasa.
“Walaupun ada beban yang di atas bahu, saya akan berserah kepada ALLAH SWT. Setiap kali sujud saya akan berdoa bukan sahaja untuk saya tapi juga pada orang lain termasuk jiran”.
Orang ramai yang ini memberi sumbangan, boleh salurkan bantuan kepada Suriati ke akaun Maybank 164801105806.
GIGIH CARI REZEKI UNTUK SARA KELUARGA
Kehilangan kerja sebagai tukang masak di hotel pada Januari 2021, membuatkan Roslina @ Mary Christina Bak beralih kepada bidang perniagaan membela dan menjual ayam. Dengan pendapatan tersebut, beliau membayar yuran anak sulung yang belajar di kolej dan perbelanjaan di rumah.
“Walaupun suami bekerja sebagai penyelenggara hotel tetapi hanya mampu memberikan nafkah sebanyak RM250 sebulan. Sedangkan saya kini tiada pendapatan dan ayam juga telah habis dijual. Hanya tinggal anak-anak ayam sahaja.

“Saya sebagai mualaf dan bergelar asnaf mendapat bantuan sebanyak RM350 dari Majlis Agama Islam Melaka, memandangkan tiada pekerjaan. Pada masa sama, saya mencari kerja lain seperti menolong orang di kedai makan, mengemas rumah di rumah orang dan akan dibayar mengikut jam bekerja.
“Berbekalkan pengalaman sebagai tukang masak, saya berhasrat untuk buat bisnes makanan secara online. Tapi ia belum kesampaian kerana tidak cukup modal untuk memulakan perniagaan.
“Saya sentiasa berdoa dan mengharapkan bantuan ALLAH. Kekuatan saya adalah ALLAH SWT dan anak-anak saya. Semoga ALLAH memberi kesihatan yang baik dan melimpahruahkan rezeki kepada saya dan keluarga.”
Orang ramai yang ingin membantu, boleh hulurkan sumbangan kepada Roslina @ Mary Christina Bak melalui akaun CIMB 7066466457.
Comments on Verse