Memiliki tiga pusat tahfiz bukanlah kebanggaan tetapi memikul amanah ALLAH dan mencari keredaan ALLAH SWT bagi Pengasas Maahad Bahasa dan Ilmu al-Quran (MABIQ), Ustaz Jamaluddin Abdul Jabbar.
Anak kelahiran Jerantut Pahang ini membina legasi maahad tahfiz ini bersama isterinya, Ustazah Umee Ruziani Ab Ghani bermula dari rumah mereka di Kampung Peramu, Tanjung Lumpur, Kuantan pada 3 Januari 2007.
Kini MABIQ beroperasi di Pantai Sepat, Kuantan; Madrasah Al-Fatihah di Kampung Bukit Genting Tebing Tinggi, Jerantut; dan Madrasah Tahfiz dan Ilmu al-Quran ( MATIQ ) Kampung Sanjai, Kemboja.
Jamaluddin berpegang kepada visi MABIQ, iaitu menjadi institusi pendidikan agama kebajikan persendirian terbaik di Malaysia dari segi pengurusan dan kualiti pendididikan. Oleh itu MABIQ membawa misi untuk mendidik pelajar menguasai hafazan al-Quran dan Hadis; bertutur dalam bahasa Inggeris, Arab dan Mandarin; berkemahiran mengurus diri dan organisasi; berpengetahuan dalam ilmu Islam; pertanian moden dan pengurusan perniagaan.

“MABIQ bermula dengan empat pelajar, kini ada 200 pelajar dan 30 peratus daripada mereka adalah kalangan pelajar anak yatim dan miskin yang mendapat bantuan MABIQ untuk membiayai kos pembelajarannya. Manakala pelajar lain ditanggung oleh ibu bapa atau penjaga yang berkemampuan.
“Pada 1 Januari 2010, saya membuka restoran MABIQ di Kampung Peramu. Asal restoran tersebut adalah dewan makan pelajar tahfiz MABIQ. Antara menu yang menjadi tarikan ramai adalah Paeh Patin Tempoyak, Daging Salai Masak Lemak Cili Api, Gulai rebung Perut dan Sambal Hitam.
“Untuk menampung kos operasi maahad tahfiz persendirian ini sebanyak RM115,000 sebulan, saya menggunakan 100 peratus keuntungan restoran tersebut disalurkan untuk pembangunan dan pendidikan di MABIQ, selain menerima sumbangan orang ramai.”
Jamaluddin yang bercita-cita menjadi guru sejak kecil, telah membesar dalam dunia al-Quran. Kedua ibu bapanya, Ustaz Abdul Jabbar Mat Piah dan Norkamariah Ibrahim menjadi guru al-Quran di rumah. Hasil didikan tersebut, beliau mampu menamatkan bacaaan al-Quran 30 juzuk ketika berusia 6 tahun.
Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Agama Ilmu Pendidikan Islam di Yogyakarta dan Sijil Perkhidmatan Kaunseling di Universiti Teknologi Malaysia telah berkhidmat di Yayasan Pahang selama 15 tahun. Pada 19 Mac 2010, beliau bersara awal bagi menumpukan MABIQ dan kini menerajui legasi tersebut. Kecenderungan beliau dalam bidang penulisan menghasil beberapa buku termasuk 101 Nasihat, Petua, Kaedah dan Strategi Pelajar Cemerlang; dan Nasihat Ibu Bapa untuk Anak-anak.
“Saya tidak menjangka begitu ramai orang untuk masuk maahad. Pada awalnya saya mahu menolong orang susah dan kurang berkemampuan untuk belajar. Untuk menggerakkan maahad tersebut saya perlukan duit sehingga menjual tanah.
“Niat saya membangunkan maahad tahfiz adalah mencari keredaan ALLAH dan mudah-mudahan ALLAH menerima amal jariah ini. Saya berasal dari keluarga susah. Ibu bapa bekerja sebagai penoreh getah. Apabila mendapat rezeki, saya cuba bantu orang miskin dan anak yatim.
“Saya pernah hendak berhenti tetapi alhamdulillah ada rezeki dan semangat masih ada, perjuangan MABIQ diteruskan dengan izin ALLAH. Antara cabaran dilalui adalah lebih RM500,000 yuran pelajar tidak dibayar oleh penjaga kepada MABIQ sejak lima tahun kebelakangan ini.
“Namun saya tidak sampai hati memberhentikan pelajar kerana mereka tidak salah. Mereka banyak berubah ke arah positif dengan didikan al-Quran. Saya selalu mendoakan semoga ALLAH menggantikan yang lebih baik kerana ALLAH Maha Kaya.
“Saya juga berharap pelajar-pelajar MABIQ dapat berjasa kepada agama, bangsa, negara dengan izin ALLAH. Untuk maklumat lanjut mengenai MABIQ, boleh layari mabiq.blogspot.com,” katanya.

Jamaluddin menjadi tetamu jemputan dalam Sesi Bersama Tokoh pada program RICH 11.0 secara offline diadakan di Masjid Lama Permatang Badak Baru, Kuantan, Pahang dan secara online di FB LIVE World QuranHour pada jam 6.30 pagi, 30 November 2019.
Orang ramai turut dijemput menyertai RICH 11.0 pada jam 4.30 pagi hingga 7.30 pagi. Aktiviti tersebut bermula dengan bacaan al-Quran dan bertadabbur ayat pilihan diikuti dengan solat sunat, solat Subuh berjemaah dan Sesi Bersama Tokoh.
Untuk maklumat lanjut dan berminat untuk menyumbang kepada Maahad Bahasa dan Ilmu al-Quran (MABIQ), boleh layari http://mabiq.blogspot.com.my/
Comments on Verse