KISAH MYQT0003
Menunggu saat melahirkan zuriat, adalah saat yang cukup membahagiakan bagi Seorang ibu, walaupun pengalaman itu sudah ditempuhi berkali-kali.
Kedekatan dan rasa begitu disayangi ALLAH SWT, kerana setiap amal yang dilakukan diganda ganjarannya kerana lemahnya tubuh membawa amanah dan hadiah daripada-Nya.
Pengalaman kali ke-7 hamil, pada usia yang sudah meningkat bukanlah sesuatu yang dijangka. Tambahan saya pernah mengalami keguguran sebelum itu. Tapi kali ini luar biasa, pelbagai komplikasi terpaksa didepani sebelum lahir permata hati bonda ini.
Komplikasi dan risiko yang pelbagai menyebabkan kelahiran ke-6 ini dirancang di hospital kerajaan sekalipun tempoh menunggunya agak lama tetap digagahi juga kerana “detail” yang perlu dihadapi.
Pemeriksaan susulan yang agak kerap, berlangsung seperti biasa, dengan tempoh menunggu yang ada dapatlah diisi dengan menyelesaikan bacaan al-Quran, dibaca terjemahannya dari beberapa surah dan juzuk yang disasarkan sepanjang tempoh kehamilan.
Saya kira perkara ini biasa bagi mana-mana ibu yang sedang menunggu kelahiran cahaya mata, lebih berusaha rapat dengan al-Quran walaupun sebelumnya tidaklah sekerap itu.

Sehinggalah suatu hari ketika leka membaca al-Quran di telefon bimbit, bateri tiba-tiba habis. Entah mengapa hati rasa benar-benar tersentak dan kehilangan kerana ayat berkenaan belum lagi habis dibaca dan tiba-tiba hilang.
Saya merayau di ruang-ruang bacaan majalah dan buku yang disediakan pihak hospital besar tersebut, menyimpan harapan dapat menemukan al-Quran, kalaulah ada.
Hendak ke surau, nombor giliran melompat-lompat bimbang terlepas pula giliran setelah lebih dua jam menunggu.
Saya cuba ke kaunter jururawat yang berdekatan pada tingkat yang sama tapi tidak ada juga al-Quran. Saya benar-benar tak pasti kenapa saya begitu yakin pasti ada al-Quran walaupun senaskhah di tingkat tersebut.
Disebabkan tidak menjumpai setelah bertanya di kaunter-kaunter, saya mohon masuk ke bilik yang ada doktor tanpa pesakit bersamanya, memohon maaf dan menyampaikan hasrat saya mencari naskhah al-Quran.
Si Doktor tersebut bertanya kenapa tak download di telefon bimbit? Saya maklumkan saya sedang baca tapi bateri habis.
Doktor tersebut dengan penuh semangat bangun dan turut bertanya di bilik-bilik berdekatan jika ada al-Quran untuk dipinjamkan kepada saya, beliau minta maaf kerana sudah cuba mencari tapi hampa.
Pada waktu itu membayangkan bagaimana agaknya jika ada sudut al-Quran, sebagai pilihan bahan bacaan kepada ibu-ibu mengandung atau bakal ayah di tingkat ini? Kalau ada, bagaimana pula jika tiada yang berminat menyentuhnya?
Tapi itukan mukjizat, boleh jadi, ada al-Quran juga sudah menjadi Rahmat untuk semua yang sedang berurusan di situ. Kalaulah ada sudut itu, mudahlah untuk ibu ayah ini memegang mushaf, membelek sebaris dua ayat, yang mungkin menjawab rawan di dada bakal ibu yang berdepan komplikasi seperti saya. Angan-angan terus berlangsung tanpa sedar akhirnya nombor giliran saya dipanggil.
Beberapa minggu lepas, saya dikejutkan dengan poster wakaf di program Malaysia #QuranTime, pengagihan al-Quran terjemahan ke hospital-hospital sebagai suntikan semangat kepada barisan hadapan, kegunaan pelawat dan para pesakit. Diikuti gambar-gambar #QuranCorner yang tular di media sosial diwujudkan di hospital-hospital seluruh negara.
Alhamdulillah, Wakaf Ummah untuk Ummah, yang disampaikan kepada hospital-hospital ini pastinya membawa sejuta Rahmat kepad petugas, pesakit dan pelawat.
Insya-ALLAH saya tidak mengandung lagi, tapi kali ini, sama ada sebagai pelawat atau pesakit suatu hari nanti saya tahu sudah ada mushaf al-Quran yang boleh didapati di hampir setiap sudut hospital, boleh dipegang untuk keberkatannya, lebih jelas dilihat berbanding di telefon bimbit, bahkan ia adalah al-Quran terjemahan yang cantik. Amat memudahkan.
Melihat hampir 2,000 naskhah al-Quran ditempatkan di hospital di mana begitu sukar saya mendapatkan aksesnya sebelum ini, amat terasa akan kebenaran janji-Nya.
Ini juga mukjizat al-Quran yang tidak terjangka, memperjalankan manusia, hati-hati penganjur, para pewakaf dan insiden COVID-19, telah membawa al-Quran (dengan izin ALLAH) ke tempat di mana kita perlu meyakini ALLAH adalah sebenar-benar pemberi penyembuhan.
Ayat-ayatNya memberi keyakinan bahawa harapan masih ada, dan putus asa bukan jalan keluar dari kekusutan hidup. Komplikasi dan sakit adalah hadiah.
Sepertimana #QuranCorner adalah hadiah amat bernilai daripada ALLAH SWT untuk kita.
#QuranCorner ini, melihatnya saja memperteguh ikrar kita bahawa sepenuh pergantungan diletakkan kepada ALLAH dengan al-Quran. Segala ketetapan diterima dengan penuh ketenangan dengan al Quran. Segala resah gelisah diubat dengan al-Quran.
Apatah lagi, dibuka, dibaca direnungi makna dan terjemahannya ketika di hospital. Kesakitan diubati bukan saja di sudut fizikal bahkan jiwa dan semangat yang rawat dengan al-lQuran akan menjadi luar biasa.
Allahu ALLAH, apakah lagi yang boleh saya katakan untuk Nikmat-Nya yang sehebat ini yang di mana saja kita berada, yakin bahawa ALLAH dan Kalam-Nya sentiasa bersama.
Alhamdulillah… Alhamdulillah..
Daripada
NN
Shah Alam
*********************************************************************
P/S: Jika ada berminat untuk berkongsi kisah inspirasi berwakaf dan mencari keredaan ALLAH, boleh emelkan nukilan anda kepada [email protected] WhatsApp nukilan anda di 019 380 3635.
Misi MENGQURANKAN BANGSA, MENGIKHLASKAN UMMAH
Comments on Verse