“LEBIH 25 tahun berkerja di sebuah syarikat insuran, saya diberhentikan kerja pada Januari 2021. Hilang sumber pendapatan lebih RM5 ribu ringgit sebulan. Namun saya perlu bangkit untuk memulakan fasa baru dengan berniaga.”
Faizah Hussin, 47, yang tiada ilmu perniagaan mengambil langkah berani dengan memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dengan menjual pau di tepi jalan. Namun beliau terpaksa menghentikan perniagaan tersebut kerana tiada pembantu untuk uruskan jualan, terutama pada waktu solat.
“Untuk mengharapkan tiga anak yang berusia antara 23 hingga 21 tahun yang masih belajar, saya rasa kasihan kerana masing-masing ada kelas atas talian. Anak hanya bantu buka gerai, tetapi tidak boleh menunggu lama di situ.
“Berniaga di tepi jalan memang mencabar sebab masa agak terbuang begitu sahaja. Kini saya beralih kepada jualan makanan sejuk beku jenama Ratu Risoles sebagai stokis.
“Risoles sejenis makanan seperti popia tapi kulitnya diperbuat daripada tepung dan intinya beraneka jenis seperti daging & ayam. Syukur, produk tersebut dapat sambutan daripada pelanggan.
“Situasi perniagaan saya sekarang, tempahan berkurangan semenjak tempat makan dibenarkan beroperasi. Alhamdulillah, hasil jualan tidaklah begitu banyak tapi cukup untuk dapat pulangan modal.”
“Saya berazam untuk belajar cara memperluaskan jualan secara atas talian di platform media sosial, terutama Facebook.”
Beliau dari Kajang merupakan pemanggil Talian Jiwa Episod 7 yang bersiaran di Astro Oasis pada 26 Ogos 2021. Program tersebut dianjurkan oleh Warisan Ummah Ikhlas Foundation (WUIF) dan Astro Oasis dan Sinar Harian untuk membantu golongan B40, M40 dan T20 yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Program Talian Jiwa juga disiarkan di platform media sosial FB dan Youtube, dikenali sebagai Soul Fitness Clinic pada setiap Isnin, Rabu dan Jumaat. Sumbangan tunai yang diberikan adalah sumbangan orang ramai menderma di Tabung Gerakan Al-Quran dan diuar-uarkan di My #QuranTime, bersiaran di TV AlHijrah.
“Walaupun saya mempunyai suami yang masih bekerja, tetapi saya perlu mencari pendapatan sendiri untuk membantu keluarga. Dengan wang yang ada, boleh saya membantu ibu yang sakit di bawah jagaan saya.
“Saya bersyukur kepada ALLAH SWT dan berterima kasih kepada pihak penganjur Talian Jiwa dan Astro Oasis. Sumbangan yang diterima sebanyak RM2,500 digunakan untuk membeli peti sejuk dan menambahkan stok produk sejuk beku lebih banyak.
“Selain itu, saya memanfaatkan sumbangan tersebut untuk membeli keperluan berniaga secara atas talian di FoodPanda dan GrabFood,” ujar beliau.
Orang ramai yang berminat untuk membeli produk Ratus Risoles boleh layari di Facebook Ratu Risoles (Kajang) dan IG raturisoles_kajang atau boleh hubungi www.wasap.my/60183251747
Program Talian Jiwa turut menampilkan tokoh dalam pelbagai bidang untuk berkongsi pandangan mengenai isu yang diketengahkan setiap episod. Untuk maklumat lanjut, sila layari https://www.facebook.com/BySoulFitness.