MENCINTAI dunia melebihi akhirat, sehingga lupa ALLAH Maha Kaya dan Maha Kuasa dan Dialah Pemilik di langit dan di bumi. Siapalah kita untuk ‘memiliki’ apa sahaja yang di dunia ini melainkan dengan izin ALLAH SWT. Al-Quran dan Hadis menjadi Kuasa panduan kepada kita untuk menguruskan harta melalui zakat, infaq, sedekah mahupun wakaf. Namun lakukanlah kebaikan tersebut kerana ALLAH SWT.

Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Sinergi Ikhlas Sdn Bhd, Fazrul Ismail berkongsi ilmu mengenai Motivasi Infaq Legacy Circle (ILC) dengan berpandukan Surah Al-Baqarah ayat 260 dan 261 di Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd pada 19 Januari lalu.
Beliau berkata, ada orang mahu membina legasi dan berjaya dalam bisnes. Program tersebut mengajak peserta untuk melihat hala tuju, perancangan dan peluang untuk berjaya dalam bisnes dan membina legasi di negara dan peringkat global yang boleh dilakukan bersama.
ALLAH SWT berfirman: “Dan (ingatlah) ketika Ibrahim berkata, “Tuhanku, tunjukkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan orang mati.” ALLAH berfirman, “Belum percayakah engkau?” Dia (Ibrahim) menjawab, “Aku percaya, tetapi agar hatiku tenang.” Dia (ALLAH) berfirman: “Jika begitu, ambillah empat ekor burung, lalu cincanglah kemudia letakkan setiap satu bahagian di atas bukit, kemudian panggillah mereka, nescaya mereka akan datang kepadamu dengan segera.” Ketahuilah bahawa ALLAH Maha Perkasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah Al-Baqarah: 260)
Fazrul berkata, Surah Al-Baqarah ayat 260 menjadi motivasi untuk memfokuskan iman. Ayat tersebut mengisahkan tentang Nabi Ibrahim, burung dan keimanan.Ayat 1 hingga 5 dalam Surah Al-Baqarah yang menyebut tentang al-Quran, solat dan infaq merupakan sinopsis ringkas kepada keseluruhan surah tersebut.
“Daripada Surah Al-Baqarah, infaq berkaitan dengan rezeki. Namun bagaimana untuk memastikan sumber saya cukup untuk membina legasi kejayaan? Alangkah indah jika kita dapat rezeki melimpah-ruah seperti air yang mengalir.”
ALLAH SWT berfirman: “Perumpaan bagi orang yang mendermakan hartanya di jalan ALLAH seperti sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada seratus biji. ALLAH melipatgandakan bagi sesiap yang Dia kehendaki, dan ALLAH Maha Luas, lagi Maha mengetahui.” (Surah Al-Baqarah: 61)
Bertadabbur ayat 260 dan 261, kata Fazrul, sebenarnya hidup dan mati adalah isu besar. Hanya ALLAH SWT yang boleh menghidupkan yang mati dan mematikan yang hidup. Nabi Ibrahim AS bertanya soalan beraras tinggi kepada ALLAH SWT tentang kehidupan dan kematian. Ia berkaitan dengan iman.

“Biasa orang bertanya bagaimana rezeki saya tetapi jarang orang bertanya, bagaimana saya mati? Kita yakin ALLAH memberi rezeki kepada kita, tapi di mana rezeki itu ya ALLAH? Ada orang bekerja siang malam, tetapi rezekinya tidak cukup. Sehingga ia menjadi kekangan untuk bantu orang lain. Ternyata bab rezeki ini adalah amat penting bagi hamba ALLAH,” katanya.
ALLAH SWT berfirman: “Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku. Aku tidak mengkehendaki rezeki sedikit pun daripada mereka dan Aku tidak mengkehendaki agar mereka memberi makan kepada-Ku. Sesungguhnya ALLAH SWT, Dialah pemberi rezeki yang mempunyai kekuatan lagi sangat kukuh.” (Surah Al-Dzariyat: 56 – 58)
Berdasarkan ayat al-Quran di atas, Fazrul berkata, sewajarnya kita mesti utamakan ibadah, dan ALLAH yang memberi menyusun rezeki kita. Tapi kebanyakan orang memegang falsafah terbalik apabila mengutamakan rezeki berbanding ibadah. Inilah yang kita hendak kaji dalam ILC.
“ALLAH SWT Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana dalam menyusun kehidupan dan kematian hamba-nya. Jika kita tahu formula ALLAH ini, maka mudahlah bagi kita. Tetapi kita tidah tahu, dan hanya ALLAH yang Maha Mengetahui.
“Berpandukan firman ALLAH SWT dalam Surah Al-Dzariyat, kita perlu berusaha dan buat sahaja untuk mentaati ALLAH SWT, kemudian perhatikan hasilnya. Ini kerana urusan rezeki adalah milik ALLAH. Jika kita dapat memahami keutamaan hidup ini iaitu beribadah kepada ALLAH, maka banyak persoalan rezeki boleh ditangani dengan mudah, dengan izin ALLAH SWT.
“Formula meraih rezeki adalah infaq di jalan ALLAH. Infaq mencabar keimanan kita. Kebanyakan orang suka menerima daripada memberi. Jika mengikut kaedah berpandukan al-Quran, ALLAH akan memberi ganjaran sehingga 700 kali ganda. ALLAH yang Maha Luas dan Maha Mengetahui memberikan rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki.
“Untuk meluaskan capaian legasi dan kejayaan dalam bisnes, kita perlu ada komuniti yang saling membantu dengan model infaq. ILC merupakan kumpulan sokongan yang saling membantu dengan model infaq untuk meluaskan capaian legasi dan bisnes masing-masing. Makin banyak memberi kerana ALLAH makin dimudahkan kejayaan,” katanya.
Untuk maklumat lanjut, sila lawati https://www.facebook.com/akademisinergi/