Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Karya Bestari dan para Panel Pemikir My #QuranTime berkampung selama tiga hari bagi merealisasikan pembukuan Nota My #QuranTime dan Khazanah 114 bagi My #QuranTime.
Program Bengkel Khazanah 114 diadakan di Kelana Jaya, Petaling Jaya, bermula 11 Julai lalu. Inisiatif membukukan bahan My #QuranTime ini selari dengan visi mengQurankan bangsa, mengikhlaskan ummah.
Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, My #QuranTime yang bersiaran di TV AlHijrah bermula 8 Jun lalu dengan bantuan ALLAH SWT, menjadi fenomena apabila mendapat sambutan lebih 10 juta penonton.

“Kita mendokumenkan pengisian My #QuranTime dalam bentuk buku, iaitu Nota My #QuranTime dan Khazanah 114 dengan kerjasama Panel Pemikir dan Karya Bestari.
“Buku tersebut diharapkan menjadi kitab khazanah yang memberi solusi masalah kehidupan individu, keluarga dan organisasi dengan berpandukan al-Quran dan Hadis .”
Beliau menambah, WUIF menjadi platform menyatukan ummah dengan al-Quran. Orang yang ikhlas untuk membantu memperbaiki ummah dengan menggunakan solusi al-Quran dialu-alukan turut serta bersama WUIF.
Selain itu, lebih ramai asatizah diharapkan dapat bergabung bersama WUIF sebagai pusat kecemerlangan untuk mengkaji al-Quran dan menyebarkan mesej ALLAH dalam bahasa yang mudah difahami orang awam.
“Dengan penggunaan media digital, ilmu al-Quran ini dapat disebarkan dengan lebih meluas kepada pelbagai bangsa dan terus sampai ke hati,” katanya lagi.
Ketua Pegawai Eksekutif Karya Bestari, Grup Buku Karangkraf, Firdaus Hussamuddin berkata, pihak Karya Bestari menyambut baik usaha untuk membukukan pengisian My #QuranTime.

“Editor dan pereka grafik Karya Bestari memberi komitmen yang tinggi terhadap penghasilan buku yang dinanti-nantikan oleh peminat My #QuranTime.
“Mereka bekerjasama yang erat dengan para Panel Pemikir yang bertanggungjawab untuk mengkaji, menyelidik dan memperhalusi isi kandungan buku tersebut yang mengandungi tadabbur al-Quran, sinopsis, tafsir dan resolusi.
“Diharapkan dengan penerbitan buku Nota My #QuranTime dan Khazanah 114, ia dapat dimanfaatkan kepada generasi akan datang dalam mengukuhkan kefahaman al-Quran,” katanya.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff; Ahli Lembaga Pemegang Amanah WUIF, Ahmad Yani Abd Manaf; Qari My #QuranTime, Ustaz Ahmad Tirmizi Ali dan Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman; dan editor Karya Bestari.
Untuk maklumat lanjut, boleh layari Facebook My #QuranTime Official.
APA KATA PANEL PEMIKIR
“Menasihati umat berlaku ketika hidup dan ketika mati. Program My #QuranTime yang kini bersiaran di TV adalah satu cara kita menasihati umat ketika hidup. Selepas kita mati, kita panjangkan nasihat itu dengan cara membukukan bahan sedia ada. Namun ia memerlukan kawalan kualiti yang tinggi kerana ia melibatkan al-Quran.” – Ustaz Abdullah Bukhari Abdul Rahim, pensyarah Pusat Bahasa dan Pembangunan Akademik Pra-Universiti, (CELPAD), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
“Al-Quran sebagai mukjizat, baca dapat pahala. Pegang dan tengok al-Quran pun dapat pahala. Apatah lagi jika ktia dapat memahami al-Quran. Sebagai Muslim, kita berusaha untuk faham dan mengamalkan al-Quran yang menjadi panduan hidup. Mendokumentasikan My #QuranTime secara bertulis dan dibukukan boleh dimanfaat oleh masyarakat untuk jangka panjang.” – Dr Hamdi Ishak, Pensyarah Kanan Pusat Kajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia
“Buku khazanah ini akan memudahkan pembaca untuk meneroka al-Quran kerana ada resolusi berdasarkan pemahaman ayat daripada ulama mufassir dan melalui pemahaman melalui ayat yang diturunkan oleh ALLAH SWT. My #QuranTime bertujuan mengembalikan manusia kepada al-Quran, serta mencapai visi mengQurankan bangsa, mengikhlaskan ummah.” – Ustaz Safri Muhammad Zein, Ketua Penyelidik WUIF
“Peserta Bengkel Khazanah 114 bertujuan untuk menghasilkan inovasi daripada al-Quran dan Sunnah. Ia memberi cabaran dari segi teknik berfikir dan sebarkan dalam pelbagai bentuk inovasi seperti YouTube, TV dan buku. Dengan membukukan khazanah My #QuranTime, ia dapat menarik minat pembaca untuk membina ilmu, nilai, karakter, budaya dan resolusi kepada diri, keluarga dan organisasi berpandukan al-Quran dan Sunnah.” – Fazrul Ismail, Ketua Pegawai Penyelidik WUIF