BADAN kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) merancang untuk buka Rumah Ngaji di Rumah BAKAT seluruh negara bagi memanfaatkan sumbangan al-Quran Wakaf untuk Ummah melalui Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) kepada warganya.
Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT ATM, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Teja Puan Seri Hajah Tengku Muhaini Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Penyampaian Bingkisan Wakaf Al Quran, di Rumah BAKAT ATM, Lorong Kubu, Kem Kementah, di sini, semalam (8 Oktober lalu).

“Kami ada 168 Rumah BAKAT termasuk BAKAT Darat, Laut, Udara, Gabungan ATM dan Rumah BAKAT ATM yang boleh melaksanakan program Rumah Ngaji dengan penerimaan al-Quran wakaf tersebut.”
BAKAT ATM menerima sumbangan 200 set al-Quran Wakaf untuk Ummah dan 1,000 naskhah al-Quran Multazam pada 17 September lalu. Beliau berharap sumbangan Bingkisan Wakaf Al-Quran ini dapat dimanfaatkan oleh Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT Perkhidmatan masing-masing dengan agihan tersebut.
“Dalam menangani penularan wabak Covid-19 pada masa kini, BAKAT disarankan untuk mengadakan kelas ngaji dalam kumpulan kecil seramai 20 orang secara bergilir.
“Kita menggalakkan 60 ribu ahli BAKAT khususnya lebih 20 ribu suri rumah muda untuk ikuti kelas pengukuhan al-Quran tersebut. Peranan ibu dan isteri adalah mustahak untuk menegakkan tiang keluarga. Pertama kita perlu pelajari al-Quran untuk diri sendiri, suami dan keluarga.
“Jika kita menjadikan al-Quran untuk dibaca, difahami dan diamalkan sebagai rutin dalam kehidupan, ia mampu membentuk nilai mulia ada diri. Selain itu, ahli BAKAT boleh mengikuti sesi My #QuranTime yang bersiaran di TV AlHijrah secara offline dan online setiap hari,” katanya.
Acara penyerahan al-Quran Wakaf untuk Ummah disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd, Datuk Muhammad Nasir Hamzah kepada Pengerusi Jemaah Tertinggi (JT) BAKAT ATM, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Teja Puan Seri Hajah Tengku Muhaini Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Tertinggi, Pengerusi JT BAKAT Darat, Puan Sri Zainuriah Mustapha; Pengerusi JT BAKAT Laut, Puan Sri Maslina Ismail; Pengerusi JT BAKAT Udara, Puan Sri Norainy Shahar Alam dan Pengerusi JT BAKAT Gabungan ATM, Datin Hanim Jeraai.

Beliau berkata, pihak WUIF mewakili rakyat di negara ini yang menyumbangkan al-Quran wakaf untuk menyampaikan penerima wakaf. Gerakan al-Quran wakaf ini membawa misi MengQurankan Bangsa, Mengikhlaskan Ummah.
“Dengan adanya wakaf al-Quran, BAKAT boleh mewujudkan Quran Corner di Rumah BAKAT untuk kemudahan akses oleh warganya. Hasrat rakyat kepada BAKAT untuk meneruskan misi berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal,” katanya.
Turut hadir, Assisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota merangkap Penasihat BAKAT ATM, Leftenan Jeneral Datuk Azlan Abdul Rahman dan Brigedier Jeneral Datuk Ahmad Abd Rahman (TUDM), Timbalan Assisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota.