KISAH MYQT0009
Malaysia #QuranTime (MYQT) benar-benar memberi kesan kepada kami sekeluarga. Anak angkat saya, Muhammad Rahman berusia 9 tahun kini boleh membaca al-Quran dengan baik.
Sebelum ini, dia baca setakat buku Iqra’. Dia sangat bersemangat untuk mengikuti bacaan daripada Qari Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman dan Qari Ustaz Ahmad Tirmizi Ali yang bersiaran di TV AlHijrah. Kami hanya ada satu al-Quran yang dapat berkongsi membaca.
Sepanjang Ramadan, saya dan anak bergilir menjadi imam. Inilah hikmah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac 2020. Saya berpesan kepada Muhammad Rahman, “Jangan keluar rumah. Nanti kena tangkap (polis), abah orang susah jadi lebih susah.”
Alhamdulillah saya ada anak yang mendengar kata. Sejak Ramadan, dia tidak lekang dengan al-Quran di hadapan TV untuk bersama ustaz-ustaz di Malaysia #QuranTime. Sehinggakan dia tertarik untuk memiliki al-Quran yang digunakan oleh pentadabbur, Tuan Fazrul Ismail.
Sebelum ini, saya menghantar anak mengaji di rumah sepupu isteri. Kata sepupu, anak saya rajin menegur jika ada kesalahan bacaan oleh orang lain. Ternyata dia sangat peka dengan bacaan al-Quran. Kami sebenarnya bukan orang senang dan dikategorikan golongan asnaf. Saya cari nafkah dengan melakukan kerja kampung manakala isteri sebagai suri rumah.
Saya selalu berpesan kepada anak, “Pergi sekolah jangan usik barang orang, jaga tingkah laku dan jaga kebersihan pakaian.” Ternyata baju sekolah yang dipakai oleh anak sejak tahun satu masih cantik dan boleh dipakai di tahun dua.
Melalui Malaysia #QuranTime, saya juga tertarik untuk memberi wakaf al-Quran. Saya telah nyatakan niat saya untuk berwakaf di hadapan isteri dan anak. Saya seronok dapat menyumbangkan al-Quran wakaf asalkan untuk kebaikan diri, keluarga dan masyarakat.
Daripada
Sabri
Hulu Langat
SUMBER FOTO – SINAR HARIAN – Gambar hiasan
—————————————————————————————————————————————
P/S: Jika ada berminat untuk berkongsi kisah inspirasi berwakaf dan mencari keredaan ALLAH, boleh emelkan nukilan anda kepada sah[email protected] dan WhatsApp nukilan anda di 019 380 3635.
Misi MENGQURANKAN BANGSA, MENGIKHLASKAN UMMAH
#WakafQuran
#QuranCorner
#TroliIbadah