“RADHA’AH atau penyusuan ibu disebut sebanyak 11 kali dalam al-Quran. Ini menunjukkan betapa penting tanggungjawab ibu untuk menyusukan anak. Ia merupakan amanah ALLAH kepada si ibu dalam membesarkan zuriatnya.”
Demikian kata Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail dalam perkongsiannya di Meja Bulat Kajian Tentang Penyusuan Susu Ibu Berlandaskan al-Quran bertemakan The Golden Mercy di Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd pada 17 Januari 2020.

ALLAH SWT berfirman: “Ingatlah pada hari ketika kamu melihatnya (goncangan itu), semua perempuan yang menyusui anaknya akan lupa terhadap anak yang disusuinya. Dan setiap perempuan yang hamil akan keguguran kandungannya dan kamu melihat manusia dalam keadaan mabuk, padahal sebenarnya mereka tidak mabuk, tetapi azab ALLAH itu sangat pedih.” (Surah Al-Hajj: 2)
Bertadabbur daripada ayat al-Quran tersebut menyatakan ibu yang sedang hamil dan ibu yang menyusukan anak. Cabaran pada akhir zaman, ada kalangan wanita yang tidak kisah mengandung mahupun menyusukan anak. Sedangkan proses mengandung dan menyusukan dapat menyambung generasi dan mengeratkan hubungan antara ibu dan anak.
“ALLAH SWT memberi panduan kepada suami untuk memberi nafkah kepada isteri agar boleh fokus penyusuan anaknya. Jika tidak mampu, boleh memberi upah kepada ibu susuan anaknya sebagaimana di sebut dalam Surah Al-Talaq, ayat 65.
“Manakala Surah An-Nisa’, ayat 23 menjelaskan pengharaman untuk mengahwini ibu susuan dan saudara susuan. Ini bermakna penyusuan tersebut dapat meluaskan hubungan kekeluargaan. Ayat 2 dan 3 dalam Surah Al-Talaq menyebut, sesiapa yang bertakwa kepada ALLAH akan diberi jalan keluar dan diberi rezeki yang tidak terlintas di hatinya.”
Fazrul berkata usaha si ibu untuk menyusukan anak dalam tempoh dua tahun memerlukan ketakwaan yang tinggi, selain beribadah kepada ALLAH. Si bapa bertanggungjawab memberi nafkah kepada ibu dan anak, sebagaimana disebut dalam Surah Al-Baqarah ayat 233. Jika tanggungjawab tersebut dapat dilaksanakan oleh ibu bapa, maka lahirlah anak yang cemerlang, berbudi dan penyayang.
Timbalan Canselor Akademik dan Profesor Pediatrik, International Medical University, Prof Dr Zabidi Hussin dalam pembentangannya “Pembentukan Personaliti melalui Penyusuan Susu Ibu” berkata, sentuhan halus, deria bau, penglihatan dan pendengaran mampu membina emosi dan kasih sayang anak melalui penyusuan ibu.

“Dalam sesi penyusuan ibu, ia akan menyalakan semua saraf emosi anak. Pada masa sama, aktiviti otak di bahagian hadapan anak sedang rancak berlaku. IQ (Nilai Kecerdasan) anak yang mendapat susuan ibu lebih tinggi daripada anak yang tidak disusukan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Arba, Azlan Shah Nabees Khan memperkenalkan Projek Susu Ibu dalam usaha memperkasakan penyusuan ibu dalam kalangan masyarakat.
“Kekurangan penyusuan ibu berkaitan dengan isu tidak kebantutan, tidak cukup zat, kurang upaya kognitif otak dan fizikal anak. Semakin meningkat penyusuan ibu akan menambahkan ekonomi dan ekonomi negara. Ini melihatkan semua orang daripada pelbagai etnik dan agama,” katanya.
Wakil RSG Medicare dan Sahabah Quran, Dr Mohd Asyakir Shamsuddin berkata pihaknya bekerjasama dengan WUIF pihak mengkaji al-Quran dan kesihatan melalui gerakan #SihatSekeluarga sejak 2019.
“Ia merupakan platform kajian dengan berasaskan modul yang dikenali sebagai Heaven to Earth (HTE) menerusi kaedah QTT (Quran, Tadabbur, Tazakkur). Usaha menghayati al-Quran tentang kebaikan penyusuan susu ibu akan menjadi solusi ke arah kesejahteraan ummah,” katanya.