SUMBANGAN Wakaf al-Quran untuk Ummah memberi nafas baru kepada 50 pelatih Pusat Bimbingan dan Perlindungan Remaja Puteri Raudhatus Sakinah di Selangor dan Melaka untuk menggunakan al-Quran terjemahan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rosmawati Zainal berkata, setiap kali mendapat al-Quran, pelatih menggunakannya setiap hari sehingga lusuh. Mereka gembira dan bersemangat apabila mendapat al-Quran baharu.

Beliau memberi maklum balas ketika dihubungi pada 18 September 2020 mengenai penerimaan al-Quran wakaf melalui Yayasan Warisan Ummah Ikhlas bagi keperluan para pelatih di pusat perlindungan tersebut.
“Dengan adanya alQuran beserta terjemahannya dapat membantu pelatih mendalami isi kandungan Kalam ALLAH pada setiap kelas bimbingan mereka. Selain mengikuti kelas pengajian agama dan alQuran yang dijadualkan, pelatih sentiasa bertadarus pada waktu pagi dan petang.
“Ia bertujuan memberi pengukuhan kerohanian kepada mereka. Dengan pendekatan al-Quran melalui baca, faham dan hayati diharapkan ia memberi kesedaran yang mendalam kepada pelatih untuk menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup,” ujar beliau yang berterima kasih kepada para penyumbang.
“Ada dalam kalangan pelatih ini yang mempunyai asas agama, sudah pun khatam al-Quran, tahu bersolat dan berpuasa, tetapi pengaruh masyarakat sekeliling terutamanya rakan sebaya menyebabkan mereka terjebak dalam gejala sosial.
Tidak bermakna ibu bapa yang terpelajar, anak-anak mereka boleh terselamat daripada terjebak dengan gejala sosial yang kian membarah ini. Pengaruh tinggi daripada masyarakat yang mengambil ringan urusan agama juga memberi kesan buruk kepada mereka.
“Kata-kata masyarakat yang tidak beradab termasuk yang disebarkan dalam media sosial, boleh menjadi pembunuh semangat anak muda yang ingin kembali ke pangkal jalan. Sebaliknya, masyarakat yang prihatin yg menegur dan menasihati dengan kasih sayang mampu membentuk generasi cemerlang.”
Rosmawati menyeru kepada masyarakat agar tidak membenci golongan remaja tersasar ini. Islam tidak mengajar kita untuk membenci orang tetapi perbuatannya. Rasulullah SAW sangat menjaga adab dan tidak pernah membenci sesiapa pun.
Stigma masyarakat menganggap remaja tersasar ini sebagai ‘budak jahat’ dan mempertikaikan usaha dalam membantu golongan ini sebagai menyusahkan diri.
Kebanyakan mereka yang terjebak akibat kejahilan masing-masing, selain terpengaruh dengan media sosial yang dibanjiri maklumat tanpa batasan.

Kita perlu cakna untuk mengajak orang lain masuk ke syurga. Berjuanglah ikut sunnah Rasulullah SAW. Jangan terlalu pentingkan diri sendiri sehingga mengabaikan kepentingan ummah.
“Anak muda yang telah tersilap langkah atau buat silap, mestilah bertaubat untuk ubah diri menjadi baik. Jika ada yang kecundang, carilah orang yang boleh dipercayai untuk bantu bangkit semula dan meneruskan kehidupan yang diredai ALLAH,” katanya.
Wakaf al-Quran untuk Ummah Fasa 3 ini digerakkan sempena My #QuranTime yang bersiaran di TV AlHijrah sejak 20 April lalu. Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai wakaf al-Quran, boleh layari https://www.facebook.com/WorldQuranHour.