“Saya menahan sebak dan terharu apabila kedatangan Ramadan kali ini diuji dengan wabak Covid-19 bukan sahaja di negara, malah di seluruh dunia. Semua surau dan masjid ditutup. Apabila mendapat al-Quran di tangan, perasaan saya menjadi sangat seronok.”
“Al-Quran inilah yang sangat kami memerlukan dalam keadaan keletihan berkhidmat kepada masyarakat, dalam memberikan pengorbanan masa dan tenaga untuk berkhidmat kepada pesakit yang terima rawatan.”

Inilah antara maklum balas staf Hospital Sungai Buloh yang dikongsikan oleh Pegawai Agamanya, Ustaz Ahmad Tarmezi Ali. Sebelum ini, warga kerja Hospital Sungai Buloh hanya mampu menatap ayat al-Quran di telefon bimbit. Dengan adanya sumbangan al-Quran wakaf oleh pewakaf melalui Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, mereka gembira dapat memegang dan membaca al-Quran di tempat kerja.

“Pada masa sama mereka turut mendoakan semoga ALLAH terima segala amalan penyumbang wakaf al-Quran. Alhamdulillah semua staf rasa seronok dan bersyukur. Saya juga berpesan semoga Ramadan kali ini dengan mendapat al-Quran yang disumbangkan, kita hendak beristiqamah dalam membaca al-Quran dan mencintai al-Quran. Dengan asbab, mudah-mudahan ALLAH memudahkan segala urusan dan mendapat keberkatan hidup di dunia dan di akhirat.
Beliau menambah, sebelum ini, sumbangan 2,300 al-Quran wakaf sudah mencukupi untuk kegunaan staf sedia ada. Namun disebabkan Hospital Sungai Buloh menjadi hospital Covid-19, ada penambahan petugas dalam bidang kesihatan.
Memandangkan kita tidak boleh masuk wad melainkan staf yang memakai PPE sahaja boleh masuk wad. Jadi, kami dari jabatan pengurusan menggunakan modus operandi dengan mewujudkan Quran Corner di semua jabatan, unit dan surau.
Sempena World #Quran Hour 1441H pada 13 Mei lalu, Hospital Sungai Buloh turut mengadakan WQH di auditorium Hospital Sungai Buloh. Pihak hospital paparkan di layar skrin besar melalui Live Streaming TV Al-Hijrah.
Seramai 80 staf yang dibenarkan untuk sejam bersama panel sebagai untuk bertadabbur Surah Ar-Rahman sebagai penutup WQH.
Sejak menerima al-Quran Wakaf, kami telah mengadakan tiga siri #QuranTime selama sejam bermula pada pukul 12 tengah hari. Staf membaca Surah Al-Kahf pada 10 April lalu, Surah Al-Mulk dan Surah As-Sajadah (17 April lalu), Surah Yassin dan Surah Al-Waqiah (24 April lalu) di lokasi masing-masing.

Bermula awal tahun 2020, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor memberi peluang kepada Hospital Sungai Buloh dan Hospital Shah Alam sebagai perintis Hospital Mesra Ibadah yang memperkenalkan penjagaan spiritual. Di bawah Unit Spiritualiti dan Kesihatan, pesakit dan waris diberi bantuan dan sokongan dalam bentuk perkongsian maklumat dan pengurusan
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Kanan (Klinikal) merangkap Ketua Unit Spiritualiti dan Kesihatan, Dr Ahmad Fahmi Md Sahray berkata, di sebalik musibah Covid-19, kita menjadi semakin dekat dengan ALLAH, seterusnya mengharmonikan hubungan sesama manusia.
Rakyat di negara ini saling membantu dalam menangani wabak tersebut dari segi kesihatan, sosial dan spiritual. Dengan sumbangan al-Quran wakaf, ia menjadi bingkisan kekuatan spiritual kepada warga hospital, pesakit dan waris.



Menurut beliau, Unit Spiritual dan Kesihatan merupakan unit penting di Selangor untuk mengintegrasikan pendekatan bio-psiko-sosio-spiritual dalam bidang perubatan. Ia menjadi satu penerimaan yang sangat luas bagi keempat-empat pentingan dalam bidang kesihatan. Di Malaysia, kita baru bermula pendekatan secara formal kepada pesakit untuk mendapatkan perubatan secara holistik.

“Unit tersebut berperanan kepada tiga golongan iaitu pesakit, waris, dan warga kerja kesihatan. Ia memberi khidmat pesakit dari sudut sumbangan spiritual dan sokongan spiritual supaya anggota kesihatan dalam menjalankan tugas terutama dalam suasana Covid-19.
“Dalam kalangan anggota kesihatan yang mengalami tekanan semakin meningkat akibat Covid-19 sehingga menyebabkan krisis spiritual. Oleh itu mereka memerlukan sokongan spiritual dalam bentuk kekuatan untuk menghadapi ujian yang getir tersebut. Mereka berasa takut berhadapan dengan pesakit.
“Oleh itu, Unit Spiritual dan Kesihatan berperanan memberi kekuatan kepada mereka agar terus berkhidmat untuk membantu negara dalam menangani wabak tersebut.
Dari segi sokongan spiritual kepada pesakit Covid-19, waris dan penjaga tidak boleh datang untuk menziarah. Pihak kami mengambil berat sejak mula pesakit masuk ke wad hingga discaj.”
Dr Ahmad Fahmi menambah, lebih mencabar lagi apabila pesakit langsung tidak berpeluang untuk bertemu dengan ahli keluarga sehingga ke nafas terakhir.
Bagi kes kematian pesakit Covid-19, Unit Spiritual dan Kesihatan akan memberi sokongan spiritual kepada waris, termasuk mewakili waris untuk mengurus jenazah, masuk ke liang lahad hingga bertalkin.
“Dari sudut pelaksaanan World #QuranHour, pihak kami mewakili Hospital Sungai Buloh berasa amat terharu kerana dapat merasai seluruh warga kerja hospital bersama al-Quran. Ia memberi kesan positif dan kekuatan rohani kepada mereka.
“Mereka teruja dan bersemangat kerana dapat memanfaatkan al-Quran dengan bertadabbur dalam suasana memerangi Covid-19. Ternyata sambutan begitu menggalakkan daripada warga hospital. Walaupun hanya sebilangan staf bersama di auditorium, namun mereka yang lain menyertai aktiviti berinteraksi dengan al-Quran di tempat kerja masing-masing,” katanya.

Semoga semua para petugas di Hospital Sungai Buloh mahupun barisan hadapan dari pelbagai agensi dalam menangani Covid-19 mendapat perlindungan dan rahmat ALLAH SWT dengan berkat membawa al-Quran untuk baca, faham dan amal.