Mungkin jutaan rujukan tokoh dan pemimpin yang menjadi idola. Namun ia tidak dapat menandingi keunggulan peribadi Rasulullah SAW sebagai ketua kepada keluarga, masyarkat, negara apatah lagi umat manusia di seluruh alam.
ALLAH SWT berfirman: “Dan Kami tidak mengutus engkau (Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam.” (Surah Al-Abiya’: 107)
Buku “100 Most Influential People In The World” oleh pengarang Barat, Michael H Hart menobatkan Nabi Muhammad SAW sebagai orang yang paling berpengaruh di dunia dan menjadi pemimpin agung sepanjang zaman.
Tanggal 11 Oktober lalu, Amanie Group dan Mercy Mission Malaysia menganjurkan program “Prophetic Leadership Talk” yang disampaikan oleh Pengerusi Eksekutif Mercy Mission World, Sheikh Dr Tawfique Chowdhury di Menara Tokio Marine Life, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Turut hadir, Pengerusi Eksekutif Amanie Group, Datuk Dr Mohd Daud Abu Bakar.

Tawfique merupakan antara 500 Muslim Paling Berpengaruh di dunia oleh TheMuslim500. Dalam program tersebut, beliau berkongsi 10 ciri kepimpinan Rasulullah SAW yang perlu dicontohi untuk menjadi pemimpin berpengaruh. Walaupun Baginda SAW telah wafat lebih 1,400 tahun, tapi mesej al-Quran dan Sunnah masih diterima untuk umat manusia sehingga hari ini.
Antara ciri-ciri Baginda SAW seperti berikut:
- Menjadi diri sendiri
Nabi Muhammad SAW bersifat introvert. Kurang bercakap lebih banyak mendengar. Ini berbeza dengan sifat pemimpin yang extrovert biasanya banyak bercakap tetapi kurang mendengar. Baginda SAW juga tidak bermegah dalam berpakaian, tetapi cukup sekadar pakaian yang sederhana. Hari ini kita gemar meniru cara orang lain dalam pelbagai aspek. Untuk mencontohi Rasulullah SAW, kita perlu sentiasa memasakkan dalam pemikiran kita untuk menjadi nombor satu. Tidak perlu tiru sesiapa, tapi jadilah diri sendiri.
- Sentiasa bercakap dengan visi
Rasulullah SAW sentiasa bercakap dengan visi dan masa hadapan. Visi utama Baginda SAW adalah hari akhirat dan banyak legasi ditinggalkan sebelum wafat. Rasulullah SAW meletakkan visi yang mempunyai hala tuju, tujuan dan motivasi yang sangat jelas. Jika kita tiada matlamat tersebut, orang lain yang akan mengisinya. Kita perlu sedar bahawa ALLAH menjadikan kita untuk beribadah kepada ALLAH. Tetapi kebanyakan kita terlalu sibuk dengan mengejar dunia. Inilah masa untuk kita berubah untuk menjadi hamba ALLAH dan bukan diperhambakan oleh dunia.
- Bercakap benar dan tidak hipokrit
Rasululllah SAW selalu bercakap benar sebelum menjadi nabi dan rasul. Oleh itu, kaum Quraish di Makkah mempercayai Baginda SAW. Oleh itu, memperbaiki diri dengan berpandukan al-Quran dan Sunnah. Jangan hipokrit iaitu hanya pandai bercakap tetapi tidak buat. Rasulullah SAW mempunyai nilai intergriti terbaik melalui akhlaknya. Ini sebagaimana disebut dalam Surah Al-Ahzab: 21.
- Utamakan pencapaian dan bersifat rendah hati
Rasulullah SAW tidak pernah berhenti untuk berdakwah. Ketika bapa saudara Rasulullah SAW meminta untuk berhenti berdakwah atas desakan pemimpin Quraish, Baginda SAW bersabda: “Wallahi, Demi ALLAH. Seandainya mereka meletakkan matahari di tangan kanan ku , dan bulan di tangan kiri ku ini nescaya aku tidak akan menghentikan dakwah ku ini hingga ALLAH memenangkannya atau aku binasa” (Riwayat At-Tarmidzi dan At-Thabrani).
Untuk mencapai matlamat, jangan mudah mengalah dan bersifat rendah hati. Ketua yang berasa diri hebat dan sombong akan berhenti belajar, tiada inovatif dan tidak melihat perkembangan semasa untuk berubah ke arah lebih baik.
- Menjadi orang terakhir
Rasulullah SAW sangat perihatin dengan ummahnya. Dalam hadis yang diriwayatkan Bukhari dan At-Tirmidzi, Rasulullah SAW mendahulukan tetamu, kemudian sahabatnya, Abu Hurairah RA untuk minum susu. Sebagai ketua yang prihatin, akan mendahulukan pekerjanya untuk ganjaran dan kebajikan sebelum dirinya. Ini akan menambahkan kepercayaan orang bawahan terhadap ketua tersebut. Ketua juga sanggup mengambil risiko untuk menyelamatkan pekerjanya. Contohnya kisah Ali RA berlindung di belakang Rasulullah SAW ketika Perang Badar, sedangkan Baginda SAW paling dengan dekat dengan mush.
- Cepat buat keputusan
Rasulullah SAW bijak dan cepat membuat keputusan berdasarkan sebahagian maklumat yang diperolehi. Contohnya sebelum Perang Badar, Rasulullah mengambil keputusan atas maklumat pengintip ke tempat musuh. Hari ini, ada majikan yang mementingkan laporan dan analisis yang lengkap sehingga lambat bertindak. Kita tidak begitu berdaya saing jika terlalu banyak maklumat tetapi tidak bergerak. Dapatkan maklumat ringkas dan tepat untuk buat keputusan dan maju ke hadapan.
- Bersegera
Bekerja keras dan cepat, berkongsi data dan maklumat boleh mewujudkan kesegeraan dalam bertindak. Apabila Rasulullah SAW menerima wahyu daripada ALLAH SWT, akan segera kongsikan dengan keluarga dan pengikutnya. Baginda SAW bersikap telus menyampaikan mesej tersebut dengan jelas.
- Jaga hubungan orang senior
Rasulullah SAW mengambil berat para sahabat terutamanya Abu Bakar AS. Ketika Baginda SAW menceritakan peristiwa Israk Mikraj, ketika itu Abu Bakar AS membenarkan berita dari langit itu sehingga digelar As-Sidiq. Untuk membina legasi, kebiasaannya ketua dan ideanya dilihat tidak logi. Namun dengan adanya sokongan pengikut yang pertama, kedua dan seterusnya, dia berhasil. Tetap jika orang pertama ini diabaikan, seolah-olah dia memusnahkan legasinya.
- Sentiasa beri latihan
Rasulullah SAW sentiasa mengajar dan mendidik para sahabah. Sebagai ketua, ambil peluang bersama staf berkongsi maklumat dan membimbing mereka tidak mengira masa. Pemimpin yang baik bukan dinilai pada bilangan pencapaian, tetapi berapa ramai ketua yang dilahirkan.
- Pemangkin semangat dan kekuatan
Rasulullah SAW mendapat sokongan dan kekuatan daripada isterinya, Siti Khadijah RA ketika menerima wahyu pertama. Baginda SAW ditenangkan oleh isterinya Aishah RA ketika berhadapan dengan tekanan dalam berdakwah. Tiga perkara yang boleh mengembalikan kekuatan pertama, sentuhan seperti pelukan dan bersalaman dengan orang tersayang; kedua perlukan mentor atau guru yang boleh membimbing kita; dan ketiga, mendapat reda ALLAH seperti bersolat Tahajud, solat Dhuha, berdoa pagi dan petang.


Comments on Verse